Dagang hidupan liar, rampasan polis capai RM4.96 juta

Dagang hidupan liar, rampasan polis capai RM4.96 juta

Nilai rampasan itu direkod bermula 1 Jan hingga Khamis lalu, berbanding hanya RM2.68 juta nilai rampasan dalam operasi sama sepanjang tahun lalu.

Polis berkata, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dilaksanakan bagi membendung perdagangan, pencerobohan dan perburuan hidupan liar tanpa permit. (Gambar Facebook PDRM)
PETALING JAYA:
Seramai 11 individu termasuk seorang warga asing ditahan dalam lapan siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bagi membendung perdagangan, pencerobohan dan perburuan hidupan liar tanpa permit bermula 1 Jan hingga Khamis lalu di seluruh negara.

Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata operasi itu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM4.96 juta dengan satu daripada serbuan itu mendapat penghargaan daripada Global Tiger Forum iaitu sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan bagi melindungi habitat asal harimau.

“Penghargaan itu diperoleh apabila Biro Jenayah Hidupan Liar serta Perisikan Siasatan Khas (PSK) pihak polis berjaya menahan seorang lelaki di Selangor dan merampas 69 hidupan liar dengan jumlah rampasan bernilai RM1.2 juta,” katanya menurut Bernama.

Kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Noorsiah berkata dalam serbuan OBK tahun lalu, sebanyak 23 kes direkodkan membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM2.68 juta.

Katanya, hasil operasi itu, pelbagai hidupan liar daripada spesies yang dilindungi berjaya diselamatkan seperti burung murai batu, ‘blue monkey’, kucing batu, burung hill myna, burung helang, musang, iguana dan ayam hutan.

Beliau berkata, dalam operasi tahun lalu juga, polis berjaya membongkar kegiatan penyeludupan haiwan melalui jalan laut menggunakan bot nelayan selepas dua lelaki termasuk seorang lelaki warga Vietnam ditahan di Kelantan.

Menurutnya hasil penahan itu, polis berjaya merampas 59 sangkar besi berisi musang dan satu sangkar burung ruak-ruak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.