AADK bimbang, vape disalahguna jadi alat pemanas dadah sintetik

AADK bimbang, vape disalahguna jadi alat pemanas dadah sintetik

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Mohamad Sade Mohamad Amin berkata pihaknya gusar penyalahgunaan vape dan mahu KKM mengambil tindakan lanjut.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendedahkan vape yang berfungsi sebagai alat pemanas boleh disalahguna bagi memanaskan dadah sintetik seperti syabu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bimbang dengan penggunaan vape sebagai alat pemanas yang boleh disalahgunakan bagi memanaskan dadah sintetik seperti syabu, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Mohamad Sade Mohamad Amin.

Justeru, katanya, kegusaran agensi itu turut dipanjangkan kepada Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, penagihan dadah juga berlaku dalam kalangan pengguna vape.

“Penyalahgunaan dadah ini boleh terjadi dalam pelbagai bentuk. Antara salah satu kaedah adalah menggunakan vape. Vape adalah satu alat pemanas, yang memanas bahan-bahan kimia seperti syabu. Kita amat prihatin dan mengemukakan perkara ini kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebab itu bila mereka masuk ke pusat pemulihan, kita temubual cara mereka mengambil dadah dan menyebabkan ketagihan adalah menggunakan vape dan bermula dengan rokok,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, bagaimanapun AADK masih belum mempunyai kajian berkenaan dadah penggunaan vape dan mengajukan masalah tersebut kepada KKM untuk menjalankan kajian.

Dalam pada itu, menurut laporan sama, Kedah menjadi negeri paling banyak kes penagihan dadah pada 2021, melibatkan 13,502 kes iaitu 11% daripada 123,139 kes di seluruh negara, memintas Johor yang pernah merekod jumlah tertinggi pada 2020, 16,138.

Kedah juga mencatatkan peningkatan sebanyak 28.4% atau 2,958 kes, berbanding 2020, sementara Johor pula mencatatkan penurunan sebanyak 17.8%.

Kedudukan tersebut diikuti dengan Selangor yang merekodkan sebanyak 12,182 kes iaitu peningkatan sebanyak 1,227 kes atau 11.2%, sementara Kelantan dan Terengganu pula menduduki tangga keempat dan kelima, masing-masing sebanyak 12,033 dan 11,843.

Daripada laporan seluruh negara, selain Kedah dan Selangor, tiga lagi negeri turut menunjukkan peningkatan jumlah penagih dadah iaitu Pulau Pinang (8,185 kes), Melaka (5,246 kes) dan Perlis (1,868 kes).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.