Umno berisiko disabotaj jika pemilihan parti tak ‘bersih’, kata penganalisis

Umno berisiko disabotaj jika pemilihan parti tak ‘bersih’, kata penganalisis

Pemilihan parti yang tidak adil mungkin mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli lebih muda, melemahkan kepimpinan parti.

Pencalonan bagi pemilihan Umno bermula pada 13 Feb dan akan diteruskan sehingga 26 Feb.
PETALING JAYA:
Seorang ahli sains politik berkata, ahli Umno yang lebih muda mungkin memberontak dan mensabotaj parti jika mereka berpendapat tidak mempunyai peluang yang adil untuk bertanding jawatan parti.

Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway berkata, ahli yang tidak berpuas hati akan menentang pemimpin, walaupun sehingga mengorbankan parti. Mereka lebih rela melihat Umno musnah, tambahnya.

Mereka mungkin menyertai Bersatu atau menyokong Perikatan Nasional (PN). Perubahan kesetiaan memberi isyarat bahawa sokongan Melayu semakin terhakis, dan boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa di salah satu daripada tiga negeri diperintahnya.

Kekalahan pada pilihan raya DUN akan datang boleh melemahkan kerajaan campuran Anwar Ibrahim, malah mengakhirinya lebih awal, kata Wong.

Pada Khamis, sumber Umno memberitahu FMT, lebih ramai ahli parti berdepan risiko penggantungan apabila perebutan jawatan ketua Pemuda Umno bermula.

Ahli-ahli yang sealiran dengan ketua Pemuda ketika ini, Asyraf Wajdi Dusuki, dan mereka yang menyokong bekas timbalannya Shahril Hamdan, yang baru-baru ini digantung keahlian selama enam tahun, sudah dikatakan “berperang” dalam usaha merampas jawatan itu.

Seorang lagi penganalisis politik, Jeniri Amir yang juga felo Majlis Profesor berkata, pengundi muda mungkin menganggap Umno sebagai parti yang tidak terbuka kepada reformasi jika kemunculan pemimpin baharu dihalang oleh taktik yang tidak adil dan kotor.

“Dengan pemimpin baharu, pasti ada input baharu dan penyelesaian yang lebih konkrit untuk memajukan Umno,” katanya.

“Untuk melahirkan pemimpin baharu, perlu bermula dari bawah di mana mereka boleh mendapatkan latihan dan pendedahan yang diperlukan.”

Selepas berdepan kritikan berhubung jawatan “Top 2” tidak dipertandingkan, Jeniri juga berkata, wajar pertandingan merebut jawatan lain dalam hierarki bawahan Umno dijalankan sebersih dan seadil mungkin.

Pencalonan bagi pemilihan Umno bermula pada 13 Feb dan akan diteruskan sehingga 26 Feb. Pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan pada 11 Mac, manakala di peringkat bahagian dan ahli Majlis Tertinggi akan dipilih pada 18 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.