Guna audit untuk kesan projek perumahan ‘sakit’

Guna audit untuk kesan projek perumahan ‘sakit’

Kumpulan pembeli rumah, berkata laporan kemajuan perlu disemak untuk melihat sama ada campur tangan kerajaan diperlukan.

Sejumlah 429 projek, merangkumi 70,727 rumah, dikategorikan sebagai projek ‘sakit’, menurut Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pembeli rumah menggesa agar audit suku tahunan dibuat ke atas projek perumahan yang sedang dalam pembinaan untuk mengesan masalah pada peringkat awal.

Pakar harus meneliti laporan ini untuk melihat sama ada campur tangan kerajaan diperlukan, kata Chang Kim Loong, setiausaha agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA).

Pengauditan hendaklah dijalankan oleh pasukan terdiri daripada akauntan, jurutera dan arkitek.

“Laporan mereka akan berfungsi sebagai diagnosis tentang apa yang berlaku di semua projek perumahan,” katanya kepada FMT.

Chang mengulas laporan lebih 400 projek perumahan “sakit” atau bermasalah, iaitu lewat 30% daripada jadual selama atau tempoh dijanjikan untuk menyerahkan pemilikan kosong telah luput.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah 429 projek, merangkumi 70,727 rumah, dikategorikan sebagai projek “sakit”.

Chang berkata, walaupun undang-undang perumahan menyediakan banyak perlindungan untuk pembeli, tiada hukuman pencegahan bagi pemaju yang gagal mematuhi peraturan dan akhirnya menjurus kepada projek “sakit”.

Beliau berkata, undang-undang memperuntukkan denda RM250,000 hingga RM500,000 dan hukuman penjara sehingga tiga tahun bagi pemaju projek bermasalah.

“Berapa ramai pemaju perumahan tidak patuh telah didakwa sejak 2015 sehingga kini? Dari apa yang saya faham, tiada,” katanya.

“Sekiranya kerajaan gagal mendakwa pemaju degil dan tidak patuh, projek ‘sakit’ dan terbengkalai ini akan berterusan.”

Lesen standard lebih tinggi

Seorang pemaju hartanah, Jerry Chan berkata, projek perumahan yang “sakit” tidak dapat dielakkan kerana kegawatan ekonomi.

Beliau mencadangkan agar penanda aras lebih tinggi ditetapkan untuk pemaju hartanah baharu, kerana pemaju tidak berpengalaman mungkin menghadapi masalah.

Chan, bekas pengerusi Persatuan Pemaju Harta Tanah dan Perumahan Pulau Pinang, berkata pemaju sepatutnya diterajui individu berkelayakan dan berpengalaman.

“Hanya mereka mempunyai rekod prestasi agak cemerlang patut dibenarkan memulakan atau dilesenkan untuk menjalankan projek besar,” katanya.

Katanya, kontraktor bangunan mesti berkelayakan untuk membuat tender bagi projek mengikut klasifikasi mereka.

“Mungkin perlu dilakukan sesuatu seperti itu untuk pemaju,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.