Shahrizat kembali, sah tanding ketua Wanita Umno

Shahrizat kembali, sah tanding ketua Wanita Umno

Beliau yang memimpin sayap berkenaan pada 2008 hingga 2018 berkata visinya kali ini adalah untuk memperkukuh barisan itu dan melebarkan sayapnya.

Shahrizat Abdul Jalil yang pernah memimpin Wanita Umno mengesahkan bertanding bagi jawatan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas ketua Wanita Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan bertanding jawatan itu selepas menyerahkan kertas pencalonannya di ibu pejabat Umno hari ini.

Beliau yang memimpin sayap berkenaan pada 2008 hingga 2018 berkata, visinya kali ini adalah untuk memperkukuh barisan itu dan melebarkan sayapnya.

Bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata Wanita Umno perlu inklusif dan sentiasa menunjukkan keberadaan mereka sebagai pasukan utama bagi membela kebajikan rakyat seperti dilakukan sebelum ini.

“Saya bertanding semula bagi jawatan ketua Wanita Umno untuk memperkuatkan pasukan ini dan melebarkan sayapnya. Kita perlu memenangi hati dan minda rakyat serta negara ini sekali lagi,” katanya menurut New Straits Times.

Shahrizat berkata, beliau membuat kemunculan semula selepas mendapat sokongan padu daripada penyokongnya untuk kembali menerajui sayap itu.

Sebelum ini, timbul spekulasi bekas menteri itu akan kembali ke gelanggang politik, dengan sumber berkata beberapa ketua Wanita bahagian bertemunya dan menyuarakan hasrat mereka memandangkan Wanita Umno “sudah lemah dan lesu”.

Ketua Wanita Umno Kota Melaka, Haryaty Hamdzah dilaporkan mendakwa 147 ketua bahagian sayap itu mahu Shahrizat kembali menerajui Wanita.

Katanya, gesaan itu disuarakan dalam pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini dan ia berdasarkan banyak kejayaan dicapainya ketika menjadi menteri.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata kekuatannya untuk bertanding jawatan itu berdasarkan pengalamannya bersama Wanita sebelum ini.

Mengenai pertembungan dengan Ketua Wanita Umno sekarang, Noraini Ahmad, beliau berkata ia bukan sesuatu yang peribadi tetapi perkara biasa dan pergolakan dalam kempen.

“Saya memberi arahan kepada mereka yang menyokong saya untuk memulakan kempen secara bersih kerana kita sendiri mengetahui mengenai landskap politik sekarang.

“Paling penting, mereka yang menyokong saya mesti tahu apa yang saya pegang dan ke mana saya mahu membawa Wanita Umno ini. Ia bukan untuk memburuk-burukkan kem lawan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.