Polis buru lelaki rompak wanita guna parang

Polis buru lelaki rompak wanita guna parang

Satu video tular menunjukkan lelaki memakai penutup muka, topi dan bersenjatakan parang meragut beg tangan seorang wanita.

Sedutan rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki bersenjatakan parang meragut beg tangan seorang wanita yang mahu masuk ke dalam keretanya.
PETALING JAYA:
Polis Klang Utara memburu seorang lelaki bersenjatakan parang yang meragut beg tangan seorang wanita ketika mangsa berjalan untuk masuk ke dalam keretanya dalam satu kejadian di Kapar semalam.

Lelaki itu yang memakai penutup muka dan topi dilihat keluar dari sebuah kereta jenis Honda City berwarna perak sebelum menarik beg tangan mangsa.

Kejadian itu turut dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) dan video itu kemudiannya tular di media sosial.

Rakaman itu menunjukkan mangsa dan seorang lagi orang awam cuba melawan suspek tetapi lelaki itu sempat melarikan diri dengan menaiki kereta yang dipandu rakannya.

“Polis masih membuat siasatan lanjut dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan serta memburu suspek,” kata Ketua Polis Klang Utara, Khairi Shafie dalam satu kenyataan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Khairolazuan Supian di talian 0111-6937331 atau IPD Klang Utara di talian 03-3291 2222.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.