
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memberitahu Timbalan Pendaftar, Khairi Haron, beliau memerlukan masa untuk mendapatkan arahan daripada Peguam Negara, Idrus Harun berhubung perkara itu.
Khairi kemudiannya menetapkan rayuan untuk pengurusan kes seterusnya pada 31 Mac ini.
Timbalan perdana menteri dan presiden Umno itu diwakili peguam Aiman Abdul Rahman.
FMT difahamkan pasukan pembelaan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bulan lalu bagi meminta pihak pendakwaan menarik balik rayuannya.
Representasi itu dibuat selepas pasukan pembelaan menyemak petisyen rayuan pihak pendakwaan pada 29 Dis lalu.
Pada 23 Sept 2022, Hakim Yazid Mustafa membebaskan Zahid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Zahid didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara 2014 dan 2018, ketika beliau menjadi dan timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional.
Beliau turut berdepan tujuh pertuduhan lain untuk mendapatkan bagi dirinya SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan USD15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi nya.