Pemberi maklumat 1MDB cerita pengalaman dalam buku baharu

Pemberi maklumat 1MDB cerita pengalaman dalam buku baharu

Bekas eksekutif Petrosaudi Xavier Justo dan isterinya Laura memperincikan pengalaman mereka berkait skandal kewangan itu menerusi buku 'Rendezvous with Injustice'.

Ketika meninggalkan Petrosaudi pada 2011, Xavier Justo mencuri kandungan emel dalam pangkalan data milik PetroSaudi yang menurutnya, sebagai ‘insurans’.
PETALING JAYA:
Butiran lanjut mengenai kes 1MDB akan didedahkan tidak lama lagi apabila seorang pemberi maklumat berkongsi pengalamannya berhubung salah satu skandal kewangan terbesar dunia, melibatkan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

Dengan penerbitan buku “Rendezvous with Injustice: How a family survived hell after blowing the whistle on the 1MDB financial scandal”, bekas eksekutif Petrosaudi Xavier Justo dan isterinya Laura memperincikan pengalaman mereka berkait skandal itu.

“Sebahagian daripada motivasi kami untuk menulis buku ini adalah (kerana) keadilan belum ditegakkan dan kami percaya peguam bertindak untuk beberapa tertuduh kini cuba berlengah.

“Sangat penting dunia tidak melupakannya begitu sahaja hanya kerana skandal kewangan lain dilaporkan dalam berita.

“Apa yang keluarga saya hadapi selepas kami mendedahkan rahsia mengenai penyelewengan berbilion dolar dari Malaysia masih lebih pelik daripada cerita rekaan,” kata Justo dalam kenyataan hari ini.

Justo meninggalkan PetroSaudi International in 2011, dua tahun selepas syarikat itu menerima dana USD1 bilion hasil usaha samanya dengan 1MDB.

Ketika meninggalkan syarikat, dia dilaporkan mencuri kandungan emel dalam pangkalan data milik PetroSaudi yang menurutnya, sebagai “insurans”.

Dia akhirnya menyerahkan maklumat dalam emel itu kepada editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dan pemilik media Malaysia selepas Petrosaudi gagal membayar tunggakan USD2 juta yang dihutang.

Justo dipenjarakan di Thailand pada Ogos 2015 selepas dia dilaporkan mengaku meminta bayaran sebagai tukaran tidak mendedahkan maklumat sulit berhubung Petrosaudi. Jenayah itu didakwa berlaku pada 2013.

Dia mendakwa dia membuat pengakuan itu dalam keadaan terpaksa.

Justo berkata, dia berharap buku itu akan menjadi kisah pengajaran dalam apa yang disifatkannya sebagai “episod memalukan”.

Dalam kata pengantar buku itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, pengalaman Justo boleh dijadikan pengajaran bagi mereka yang kisah tentang memerangi rasuah.

“Justo menderita manakala pelaku sebenar bebas merayau di koridor kuasa, tanpa rasa malu, dan yakin bahawa mereka tidak akan dihukum atas jenayah mereka,” katanya.

Maklumat lanjut tentang buku itu boleh didapati di https://rendezvouswithinjustice.com/.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.