
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, sembilan kematian akibat komplikasi demam turut direkodkan berbanding tiada kematian dilaporkan dalam tempoh sama 2022.
“Bagaimanapun, jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) keenam tahun ini (5-11 Feb) menurun sebanyak 8.9% kepada 1,967 kes dengan tiga kematian berbanding 2,159 kes pada minggu sebelumnya.”
Katanya, 86 lokaliti hotspot direkodkan minggu ini berbanding 82 lokaliti pada minggu sebelumnya, dengan 50 lokaliti di Selangor, Sabah (22), Kuala Lumpur dan Putrajaya (11) serta tiga lokaliti di Pulau Pinang.
Beliau berkata, survelan chikugunya pula merekodkan 14 kes pada minggu berkenaan, dengan lima kes dari Pulau Pinang, tiga kes di Kedah dan masing-masing dua kes di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya.
Ini menjadikan keseluruhan 86 kes chikungunya dicatatkan sehingga kini.
“Bagi survelan zika, 284 sampel darah serta satu sampel urin menjalani saringan zika dengan semuanya negatif.”
Beliau menasihatkan orang ramai mengambil beberapa langkah perlu sebelum balik kampung atau bercuti agar tiada tempat pembiakan nyamuk di dalam dan persekitaran rumah berikutan peningkatan hujan ketika ini.
Antaranya, memastikan tiada air bertakung pada alat penapis air dan bekas jambangan bunga, menutup rapat bekas penyimpanan air, meletak bahan pembunuh jentik-jentik dalam pam dan mangkuk tandas.
Orang ramai juga perlu memastikan persekitaran luar rumah mereka bebas daripada bekas yang boleh menakung air, contohnya barang hiasan yang boleh menakung air, bekas makanan atau minuman haiwan peliharaan, alas pasu dan alat permainan kanak-kanak.
“Semasa berada di kampung atau tempat percutian, pakai pakaian menutup anggota badan sekiranya melakukan aktiviti luar, terutamanya pada awal pagi dan lewat petang serta gunakan repelan bagi mengelakkan gigitan nyamuk.”