KKM jumpa Hartal Doktor Kontrak 22 Feb

KKM jumpa Hartal Doktor Kontrak 22 Feb

Sesi perbincangan dari 4 hingga 6 petang itu akan diadakan di KKM Putrajaya.

Dr Zaliha Mustafa berkata sesi perbincangan bersama perjawatan sektor kesihatan lain sedang diperinci.
PETALING JAYA:
Sesi “townhall” akan diadakan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Hartal Doktor Kontrak pada 22 Feb ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam catatan di Twitter berkata, sesi perbincangan dari 4 hingga 6 petang itu akan diadakan di KKM Putrajaya.

“Perancangan telah dilakukan, Insya-Allah akan diadakan satu sesi ‘townhall’ bersama doktor. Pendaftaran bagi doktor yang akan menghadiri sesi ‘townhall’ pada 22 Feb nanti.

“Untuk sesi bersama perjawatan sektor kesihatan lain, sedang diperinci dalam tempoh terdekat,” katanya.

Hartal Doktor Kontrak dan gerakan penjagaan kesihatan lain berulang kali meminta pertemuan dengan Zaliha untuk mendengar keluhan petugas kesihatan serta menyelesaikan masalah dihadapi sistem kesihatan negara.

Kelmarin, Zaliha dilaporkan mempelawa petugas kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok kerana kecewa dengan sistem kesihatan, bertemu untuk membincangkan masalah itu.

Beliau meminta diberikan sedikit masa untuk memahami masalah yang timbul bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Dalam pada itu, Hartal Doktor Kontrak dalam catatan di Twitter berkata, mereka tidak terbabit sebarang mogok tidak terancang seperti dikatakan Zaliha.

“Kami percaya mogok yang dirancang rapi adalah jalan terakhir. Kesihatan dan keselamatan pesakit tetap jadi keutamaan kami.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.