
Katanya, Ng Suee Lim tidak berhak mengisytiharkan kerusi itu kosong kerana ia hak prerogatif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya juga amat percaya kuasa menentukan dan mengesahkan sama ada berlakunya ‘kekosongan luar jangka’ atau ‘casual vacancy’ bagi kerusi Batang Kali hendaklah ditentukan SPR dan bukan ditentukan Speaker,” katanya dalam kenyataan.
Harumaini juga menegaskan Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958 menetapkan kerusi DUN hanya boleh diisytiharkan kosong oleh SPR.
Katanya, beliau hanya terlepas satu sidang pada November lalu, justeru sidang terakhir yang dihadirinya ialah Julai 2022.
“Ketidakhadiran saya tanpa kebenaran hanya berlaku pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima DUN Selangor Ke-14, iaitu persidangan yang bermula 23 Nov 2022.
“Oleh itu, apa-apa pengiraan tempoh enam bulan hanya bermula dari 23 Nov 2022, bukannya pada 27 Julai 2022 – mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959.”
Dalam kenyataan berasingan, Harumaini memberi tempoh tiga hari kepada Ng untuk menjawab, sebelum mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadapnya.
Semalam, Ng mengisytiharkan kerusi Batang Kali kosong selepas Harumaini gagal menghadiri sidang DUN lebih enam bulan.
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan lunas undang-undang dan beliau menghormati keputusan Harumaini mengambil sebarang tindakan undang-undang.
Beliau berkata, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan kerana Selangor dijangka mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh enam bulan akan datang.