Tukar polis ke Semenanjung lebih ramai berbanding Sabah, Sarawak, kata menteri

Tukar polis ke Semenanjung lebih ramai berbanding Sabah, Sarawak, kata menteri

Hanya 45 pegawai polis bermasalah ditukarkan ke Sabah dan Sarawak berbanding 294 orang ditukarkan dari Borneo ke Semenanjung, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Pertukaran anggota polis dibuat kerana masalah disiplin dan integriti, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata hanya 45 pegawai polis bermasalah ditukarkan ke Sabah dan Sarawak bagi tempoh 2018 hingga Jan 2023.

Katanya, angka itu lebih rendah berbanding seramai 294 pegawai polis yang ditukarkan dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung bagi tempoh berkenaan.

Beliau menjawab pertanyaan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah pegawai polis dari Semenanjung dipindahkan ke negeri itu sejak 2018 dan justifikasi mereka ditukarkan.

Saifuddin menambah pertukaran berkenaan dibuat selepas pegawai polis terlibat didapati mempunyai masalah disiplin dan integriti antaranya mempunyai hubungan intim dengan pegawai polis yang telah berkahwin.

“Selain itu, (pegawai polis) ditangkap atas kesalahan berkhalwat dengan pegawai polis yang berkahwin; dan terlibat dalam kegiatan dan aktiviti tidak bermoral,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, berang dengan tindakan polis menukar sembilan anggota yang terlibat kes peras ugut bertugas di Sabah dan Sarawak.

Isnaraissah berkata kedua-dua negeri berkenaan “bukan tong sampah” untuk menerima pegawai bermasalah.

Kenyataan itu susulan laporan media yang memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, bahawa sembilan anggota polis yang terlibat dalam kes peras ugut seorang ahli perniagaan di Gombak akan ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.