Timbang sidang media berkala, KPN diberitahu

Timbang sidang media berkala, KPN diberitahu

Menteri dalam negeri menerima banyak maklum balas daripada media mengenai ketiadaan sidang media berkala sehingga menyukarkan mereka mendapatkan perkembangan sesuatu kes.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani diminta mempertimbangkan cadangan mengadakan semula sidang media berkala.
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail meminta Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mempertimbangkan cadangan mengadakan semula sidang media secara berkala.

Saifuddin menerima banyak maklum balas daripada media bahawa ketiadaan sidang media berkala menyukarkan mereka mendapatkan perkembangan terbaharu berkenaan sesuatu kes.

“Saya telah berbincang dan mendengar pandangan daripada polis, ada logiknya serta terdapat kemunasabahan untuk mengadakan sesi sidang media semula.

“Saya beri dia (ketua polis negara) peluang untuk mempertimbangkan cadangan itu dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas program sesi libat urus media bersama menteri dalam negeri, semalam.

Saifuddin berharap cara itu dapat merapatkan hubungan antara polis dan media sebagai rakan strategik.

Mengulas penggunaan kamera badan anggota polis, Saifuddin berkata KDN mempunyai peruntukan dan bahagian perolehan sedang memuktamadkan spesifikasinya.

“Apabila penggunaan kamera badan dilaksanakan, anggota polis akan mengguna pakai gajet berkenaan. Saya percaya penggunaan kamera badan akan meningkatkan integriti polis, (membantu) mengumpul bukti dan sebagai peringatan kepada mereka (anggota), bahawa mereka diawasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.