
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, setakat 11 Feb lalu, iaitu Minggu Epidemiologi (ME) keenam, sebanyak 6,870 kes dicatatkan dengan kenaikan sebanyak 141.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Dengan jumlah kes denggi hampir 40,000 tahun lalu, bayangkan (peningkatan kes pada 2024) jika ia tidak dikawal,” katanya dalam sidang media di sini.
Berdasarkan kitaran demam denggi di Malaysia dalam tempoh 20 tahun, katanya, negara ini dijangka mengalami peningkatan kes yang tinggi bagi setiap empat hingga lima tahun.
“Dijangka peningkatan kes tinggi akan berlaku pada 2023 atau 2024, selepas kejadian wabak denggi tertinggi pada 2019,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, 510 lokaliti wabak denggi dikesan di Selangor pada ME keenam dengan peningkatan sebanyak 8.5% berbanding 470 lokaliti pada minggu sebelumnya.
Dalam tempoh itu, katanya, daerah Petaling mencatatkan jumlah lokaliti tertinggi, iaitu 203 lokaliti dengan peningkatan 39.8%, diikuti Hulu Langat (120), Klang (82) dan Gombak (69).
Susulan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri serta agensi berkaitan melaksanakan Operasi Bersepadu Denggi Selangor (OBDS) mulai semalam hingga 22 Mac yang memfokuskan empat daerah mempunyai kumulatif kes denggi tertinggi.
Katanya, hampir RM1 juta diperuntukkan bagi operasi itu yang turut melibatkan pemantauan pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan tanah serta pejabat kesihatan daerah bagi meningkatkan tahap kesedaran dan advokasi masyarakat setempat berhubung pencegahan demam denggi.
Beliau berkata, jika tempat pembiakan nyamuk Aedes dijumpai di sekitar premis atau rumah ketika operasi dijalankan, kompaun sebanyak RM500 boleh dikenakan.
Justeru, orang ramai dinasihat melaksanakan amalan 10 minit dalam seminggu bagi mencari dan menghapuskan tempat pembiakan di sekitar rumah dengan memastikan tiada tempat boleh menakung air secara terbuka.