
Laporan itu berkata, berdasarkan surat pengesahan baki pinjaman tertunggak Felcra dengan kerajaan persekutuan bertarikh 10 Jan 2022 dari Jabatan Akauntan Negara, Felcra masih berhutang RM3.67 bilion dengan kerajaan setakat 31 Dis 2021.
“Baki pinjaman ini merupakan 69% daripada keseluruhan liabiliti Felcra berjumlah RM5.32 bilion,” menurut laporan itu.
Mengenai petunjuk prestasi utama kewangannya, Felcra memaklumkan ia hanya gagal mencapai satu daripada enam petunjuk perspektif, iaitu penurunan kos pentadbiran.
Felcra mengaitkan kegagalan itu dengan peningkatan perbelanjaan disebabkan program tanggungjawab sosial korporatnya berjumlah RM10 juta yang tidak dibajetkan pada awal tahun.
Secara keseluruhannya, berdasarkan skop audit, objektif Felcra untuk menyatu, menghidupkan semula dan membangunkan tanah milik ahlinya dicapai melalui aktiviti utama dengan melaksanakan mandat sosialnya (melalui program pengurusan penyatuan dan pemulihan ladang atau P&P) dan perniagaan komersial.
“Dalam aspek keberhasilan, kerajaan tidak menerima dividen daripada Felcra bagi tempoh 2019 hingga 2021, namun program P&P memberi impak positif serta dapat meningkatkan taraf hidup peserta dengan agihan dividen diterima.”
Pengurusan aktiviti perladangan tidak cekap kerana tidak mematuhi jadual perancangan pembajaan dan pusingan penuaian serta tenaga kerja asing tinggal melebihi tempoh pas lawatan kerja sementara (PLKS), menurut LKAN.
Setakat April 2022, tiada pembayaran dividen oleh syarikat subsidiari dibuat bagi 2019 hingga 2021 kerana pengauditan penyata kewangan bagi tempoh itu belum dimuktamadkan.
Pihak berkepentingan perlu mengambil langkah membantu peserta tidak menerima dividen bagi menyelesaikan masalah kos operasi dan projek tidak berdaya maju, serta dividen belum agih terkumpul berjumlah RM67.14 juta hendaklah diserahkan kepada peserta dan pemegang amanah secepat mungkin.
Felcra juga disyor memaksimumkan pengisian tenaga kerja ladang selaras keperluannya untuk meningkatkan produktiviti hasil tuaian dan pendapatan syarikat pada tahap optimum serta mengguna pakai sistem secara digital bagi pengurusan penyenggaraan kilang sawit seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0.
Setakat 2021, Felcra memperoleh ladang seluas 203,953 hektar dan mempunyai 108,097 peserta. Ia mengagihkan dividen berjumlah RM801.05 juta kepada peserta bagi tempoh 2019 hingga 2021.
Setakat April 2022, Felcra mempunyai pegangan saham antara 53% hingga 100% dalam 22 syarikat subsidiari serta sembilan syarikat usaha sama dengan pegangan saham antara 8.75 hingga 50%.