Zahid yakin JPPM beri jawapan positif usul ‘top 2’ tak dipertanding

Zahid yakin JPPM beri jawapan positif usul ‘top 2’ tak dipertanding

Presiden Umno yakin sebelum tempoh 60 hari Umno akan mendapat jawapan daripada JPPM berhubung usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yakin pencalonan bagi sayap Pemuda, Wanita dan Puteri serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terus meningkat menjelang pemilihan.
KUALA LUMPUR:
Zahid Hamidi yakin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) akan memberikan respons positif sebelum tempoh 60 hari berhubung usul tambahan diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno 2022, supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Presiden Umno berkata pasukan peguam dan Setiausaha Agung Ahmad Maslan sudah meneliti usul tambahan ketika PAU baru-baru ini.

“Saya yakin sebelum tempoh 60 hari kita dapat jawapan JPPM,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Beliau mengulas tempoh 60 hari diberikan JPPM untuk Umno mengemukakan penjelasan dan segala maklumat berkait aduan mengenai usul tambahan dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada PAU lalu.

Tempoh 60 hari itu bermula 20 Jan lalu, iaitu tarikh dua ahli Umno menghantar aduan kepada JPPM supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan diluluskan ketika PAU 2022 pada 14 Jan.

Ahli terbabit Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan Muhammad Fiqri Firdaus mendakwa usul dibawa pada PAU 2022 melanggar perlembagaan parti.

Sementara itu, Zahid yakin pencalonan bagi sayap Pemuda, Wanita, dan Puteri serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terus meningkat menjelang pemilihan.

“Saya ambil pendekatan jawatan dipertandingkan terbuka untuk disertai yang berminat. Harap garis panduan kempen dihantar Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Shahrir Samad diikuti sepenuhnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.