
Ahmad Yahya (PN-Pokok Sena) membuat gesaan itu kerana ia dibimbangi mengundang penularan budaya lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT).
“Saya ingin menegaskan implikasi terhadap tindakan tersebut sangat besar khususnya kepada perkembangan golongan LGBT atau spesifiknya golongan gay dalam negara.
“Saya mengharapkan KKM meneliti semula projek rintis berkenaan. Ini bukan kerana kita menolak prinsip kementerian untuk menyelamatkan golongan berisiko kepada HIV.
“Tetapi kita memerlukan suatu pendekatan lebih menyeluruh untuk memastikan golongan gay dan LGBT umumnya tidak terus berkembang dalam negara. Inilah pandang sisi yang wajar diketengahkan kementerian,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong.
Beliau mencadangkan KKM mengambil pandangan agama dan moral dalam menangani isu berkenaan termasuk berunding dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mufti negeri-negeri secara strategik bagi mengelakkan implikasi lebih parah jika projek rintis itu diteruskan.
Mengulas usaha mengawal penularan LGBT dalam negara, beliau mencadangkan kerajaan mengemukakan statistik jumlah golongan LGBT dalam negara serta punca dan bagaimana budaya itu boleh menular.
“Kerajaan juga digesa menggubal dasar bagi menolak prinsip dan tuntutan terhadap orientasi seksual dan identiti gender yang menjadi lapangan perjuangan golongan LGBT ketika ini.
“Kerajaan perlu menggubal dasar bagi melakukan sekatan terhadap platform media sosial sama ada berpangkalan dari dalam atau luar negara yang mengandungi unsur LGBT dan memperkukuhkan dasar berkaitan institusi kekeluargaan bagi mengurangkan pengaruh terhadap gelombang LGBT yang masuk ke dalam negara,” katanya.
Katanya, budaya LGBT bukan sahaja mengundang masalah sosial sebaliknya mengundang bala Allah.
Sebelum ini KKM berkata, pihaknya akan melakukan projek rintis penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
Menteri Dr Zaliha Mustafa berkata projek rintis itu perlu dilaksanakan sebelum ubat berkenaan diperakukan oleh kementerian untuk kegunaan awam.