Dasar baharu Tahun 1 kena ambil kira realiti infrastruktur Sabah, Sarawak

Dasar baharu Tahun 1 kena ambil kira realiti infrastruktur Sabah, Sarawak

Wakil rakyat Sabah dan Sarawak berkata bilik darjah kurang, sekolah daif, dan penempatan guru terlatih antara cabaran perlu diselesa segera.

daif Dilapidated
Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong), berkata dasar Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 tidak boleh dilaksana secara satu saiz untuk semua. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pelaksanaan dasar prasekolah bermula usia lima tahun dan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun secara sukarela perlu seiring dengan kemudahan asas pendidikan terutama di luar bandar, kata Ahli Parlimen Sarawak dan Sarawak.

Kata mereka, pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 perlu mengambil kira realiti infrastruktur pendidikan di kedua-dua negeri itu.

Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong), berkata masih terdapat tabika daif selain kekurangan bilik darjah.

“Masih terdapat tabika daif, kekurangan bilik darjah mesra kanak-kanak, dan guru terlatih serta isu penempatan guru di kawasan pedalaman. Dasar ini tidak boleh dilaksanakan secara satu saiz untuk semua,” katanya menurut Bernama ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) membangkitkan perkara sama dengan menjadikan kawasan Sandakan sebagai contoh berdepan masalah infrastruktur pendidikan.

“Di Sandakan sekolah daif masih wujud, infrastruktur pendidikan masih ketinggalan, dan murid tercicir akibat kemudahan asas yang lemah. Kami perlukan sekolah, kelas mencukupi, dan lebih banyak (lagi). Masa yang kritikal untuk kerajaan mengambil tindakan supaya murid dan guru ada sesi pengajaran dan pembelajaran yang baik,” katanya.

Sementara itu, Shafie Apdal (Warisan-Semporna) menyentuh keperluan memperkukuh sistem pendidikan di Sabah dengan menekankan kesepadanan antara latihan teknikal, kandungan pembelajaran, dan keperluan industri bagi membantu kebolehpasaran golongan muda.

Radzi Jidin (PN-Putrajaya) pula berkata, berdasarkan data kelahiran 2021, dijangkakan terdapat sekitar 440,000 anak-anak yang mencecah usia enam tahun pada 2027.

“Sekiranya purata setiap kelas adalah 35 murid, maka lebih 12,500 bilik darjah diperlukan, tentunya amat mencabar untuk Kementerian Pendidikan menyediakan semua bilik darjah tersebut dalam masa 11 bulan ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, berkata meskipun terdapat gesaan supaya kemasukan ke Tahun Satu seawal umur enam tahun ditangguhkan atas pelbagai kebimbangan, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam arus pendidikan global dengan 137 negara telah melaksanakannya.

Anwar yang juga menteri kewangan, berkata tambahan RM800 juta akan diperuntukkan dalam belanjawan tahun ini bagi memenuhi keperluan segera termasuk pengambilan 18,000 guru baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.