
Pelabur mungkin melihat keputusan itu menunjukkan kecenderungan kerajaan untuk mungkir janji, kata Shankaran Nambiar daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia.
“Lynas mendakwa ia diundang untuk melabur di Malaysia dengan kerajaan ketika itu mengetahui sepenuhnya jenis operasi dijalankannya.
“Hujahnya kini menggambarkan kerajaan seolah-olah membatalkan perjanjian awalnya,” kata Shankaran kepada FMT.
Semalam, Lynas mengumumkan lesen operasinya di Malaysia diperbaharui selama tiga tahun tanpa sebarang perubahan kepada syarat ditetapkan pada 2020 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ini termasuk ketetapan menghalang syarikat itu daripada mengimport dan memproses nadir bumi pekat selepas 1 Julai. Lynas, yang mempunyai kilang pemprosesan di Gebeng, Pahang perlu menutup kemudahan retak dan larut lesapnya menjelang tarikh itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze, berkata lesen diberikan kepada syarikat itu sebelum 2020 tidak termasuk syarat pengimportan dan pemprosesan nadir bumi.
Shankaran berkata keputusan kerajaan patut dipuji jika terdapat bukti bahawa operasi Lynas mengancam nyawa penduduk sekitar.
“Kerajaan perlu mengemukakan bukti mencukupi jika Lynas membawa kesnya ke mahkamah,” katanya.
Semalam, dalam komen mengenai isu Lynas, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man, daripada Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan membuat keputusan berdasarkan fakta dan pendapat pakar.
Beliau berkata, pendirian parti politik tertentu dalam projek terpilih boleh membawa kesan buruk kepada pelabur asing.
Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, pendirian kerajaan nampaknya konsisten dengan dasar PH mengenai standard keselamatan dan isu alam sekitar, sosial, dan tadbir urus.
“Terdapat perbezaan antara konsistensi dalam kontrak dan konsistensi dalam dasar,” katanya.
“Jika kerajaan bertukar, dijangka dasar akan turut berubah.
“Saya percaya langkah menetapkan syarat baharu untuk pembaharuan lesen adalah suatu perubahan dasar dan itu boleh difahami. Lainlah jika syarat itu ditetapkan semasa lesen syarikat masih sah.”
Katanya, Malaysia tidak sepatutnya kesal dengan kehilangan pelaburan yang dikaitkan dengan standard keselamatan yang rendah atau dilihat berisiko.