
Ketua Pengarah Zailani Hashim berkata penambahbaikan memperkenalkan sekuriti peringkat ketiga menggunakan lapan aksara terakhir yang tertera di belakang lesen memandu untuk pendaftaran JPJeID dalam talian.
Ini tambahan kepada dua peringkat sekuriti sedia ada, iaitu kata laluan dan kod TAC, katanya,
“(Selain itu), menambah fungsi bagi mendapatkan semula akaun pengguna melalui lapan aksara terakhir lesen memandu.
“Ini penyelesaian kepada isu ‘telah mendaftar’ disebabkan pengguna sebelum ini mempunyai akaun di portal rakan strategik JPJ yang berintegrasi dengan sistem JPJ,” menurutnya dalam kenyataan.
JPJ turut menambah fungsi “penetapan semula emel” bagi pengguna yang terlupa emel digunakan atau perlu mengemas kini emel secara dalam talian dengan tambahan lapan aksara lesen memandu.
Menurut kenyataan itu, penambahbaikan tersebut dilaksanakan setelah menerima maklum balas daripada orang ramai mengenai penggunaan aplikasi MyJPJ dan portal awam JPJ, susulan pengenalan Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM).
Kenyataan itu memaklumkan Kementerian Pengangkutan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memastikan aspek keselamatan siber aplikasi MyJPJ terjamin.
Orang ramai boleh mengajukan sebarang pertanyaan ke emel [email protected] atau menghubungi talian hotline JPJ di 03-27242522.