Steven Choong, Wong Judat timbalan presiden PBM

Steven Choong, Wong Judat timbalan presiden PBM

Paul Yong dilantik naib presiden kanan, manakala Chua Lian Chye kini naib presiden parti.

Steven Choong (kiri) dan Wong Judat dilantik selepas rombakan dalaman parti.
PETALING JAYA:
Parti Bangsa Malaysia (PBM) menamakan Steven Choong dan Wong Judat sebagai timbalan presiden susulan penstrukturan semula parti.

Dalam kenyataan, PBM berkata keputusan penstrukturan semula itu dibuat ketika mesyuarat Majlis Tertinggi pada 10 Februari dan bertujuan memperkemaskan parti susulan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Langkah ini diambil untuk membina semula kekuatan parti supaya mampu terus relevan dalam membina negara seiring kerajaan perpaduan,” katanya.

Selain Choong dan Wong Judat, parti turut mengumumkan Paul Yong akan mengambil alih sebagai naib presiden kanan, manakala Chua Lian Chye kini naib presiden. Masir Kujat pula dilantik sebagai setiausaha agung parti yang baharu.

Menurut PBM, penstrukturan semula di peringkat negeri turut dilaksanakan, seterusnya membolehkan fokus terhadap persediaan mengukuhkan akar umbi dan penjenamaan semula parti.

Tahun lalu PBM mengalami kemelut dalaman antara Presidennya Larry Sng dan 11 ahli Majlis Tertinggi yang kemudian digantung keahlian pada Oktober. Antaranya termasuk bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin, ADUN Lembah Jaya Haniza Talha, dan ADUN Sementa Daroyah Alwi.

Penggantungan itu susulan individu berkenaan didakwa menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.

Zuraida dan 10 yang lain kemudian dipecat selepas gagal memberi maklum balas terhadap surat tunjuk sebab dikeluarkan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.