Polis sudah kenal pasti suspek dera anak kera ekor panjang

Polis sudah kenal pasti suspek dera anak kera ekor panjang

Polis turut menafikan dakwaan bahawa tiada tindakan diambil terhadap kes berkenaan.

Dr Kartini Farah Rahim dan Rajesh Nagarajan (tengah) daripada Kumpulan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia selepas membuat laporan polis di IPD Shah Alam 20 Jan lalu.
PETALING JAYA:
Polis telah mengenal pasti identiti suspek yang dipercayai terlibat berhubung dakwaan melakukan penyeksaan terhadap anak kera ekor panjang, susulan satu laporan polis dibuat di IPD Shah Alam 20 Jan lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, A Skandaguru, berkata polis menafikan dakwaan bahawa tiada tindakan diambil terhadap kes berkenaan.

“Dakwaan ini adalah tidak benar. Siasatan telah dijalankan dan suspek telah dikenal pasti.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan arahan telah diterima agar rakaman percakapan susulan dijalankan bagi melengkapkan lagi kertas siasatan tersebut.

“Sesi rakaman percakapan selanjutnya dijadualkan pada 15 Februari 2023. Kertas siasatan seterusnya akan dirujuk semula kepada timbalan pendakwa raya untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Skandaguru turut mengingatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi mengenai proses siasatan dan memberi ruang bagi prosedur pendakwaan berlangsung.

20 Jan lalu, Kumpulan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) membuat laporan di IPD Shah Alam selepas menerima maklumat daripada kumpulan kebajikan, Lady Freethinker, dari Amerika Syarikat dan Action for Primates, dari United Kingdom, berhubung dakwaan seksaan terhadap anak kera ekor panjang.

Dr Kartini Farah Abdul Rahim berkata, beliau menerima maklumat dari kumpulan itu yang mendakwa pelaku merekodkan seksaan terhadap primat dan menjualnya rakaman itu dalam kumpulan Telegram, dinamakan “Monkey Haters”.

“Ia merupakan bentuk penyeksaan kejam yang sepatutnya disiasat segera oleh polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.