
Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, langkah itu mengurangkan keupayaan wakil rakyat melaksanakan tugas dengan berkesan ketika ramai individu masih berusaha mencari jalan untuk pulih susulan perintah kawalan pergerakan sebelum ini.
Katanya, program komuniti tempatan yang bertujuan membantu meningkatkan kehidupan penduduk adalah paling terjejas dengan pemotongan peruntukan itu.
“Sebagai contoh saya merancang kelas kemahiran untuk penduduk di kawasan saya bagi meningkatkan kemahiran mereka dan saya juga gunakan peruntukan ini untuk membaiki serta menaiktaraf kemudahan awam.
“Apabila berlaku pemotongan peruntukan, sebahagian inisiatif yang saya rancang tidak dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dalam keadaan semasa wakil rakyat menjadi destinasi pertama yang dituju penduduk bagi mendapatkan bantuan.
Syerleena yang juga Adun Seri Delima berkata, tidak jelas bagaimana penjimatan daripada pemotongan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
“Dengan menyusun semula kewangan kerajaan, banyak program sosial akan dikawal oleh Putrajaya. Ini mengundang potensi ketidakcekapan,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan tahun ini daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta sebagai langkah mengawal perbelanjaan negara.
Menurutnya, peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri dan disalurkan secara berperingkat serta mengikut keperluan.