
Dalam titah baginda pada perasmian mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-15, Sultan Abdullah menegaskan semangat muhibah dan hormat-menghormati antara kaum menjadi asas kepada kestabilan.
“Keutuhan keharmonian menerusi gagasan perpaduan yang berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan; hendaklah dijadikan agenda utama demi nusa tercinta,” titahnya.
“Agenda perpaduan dalam konteks kebudayaan juga perlu diberi tumpuan melalui pelaksanaan program-program berorientasikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Ianya juga selaras ajaran Islam yang menganjurkan umatnya mengamalkan sifat tasamuh, atau toleransi, dan menghindari gejala pelampau yang boleh menggugat keharmonian kaum.”
Sultan Abdullah bertitah, 66 tahun selepas Merdeka, rakyat seharusnya cukup matang untuk menjadikan perbezaan yang unik sebagai “rencah utama” dalam pembentukan bangsa Malaysia yang saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain, bertolak ansur, dan bersatu padu.
“Jika kepelbagaian, kemajmukan, dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, beta khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya,” titahnya.
Menggesa Ahli Parlimen agar mengetepikan “agenda politik sempit”, Agong menyeru kestabilan politik yang lebih kukuh diwujudkan ke arah “era Malaysia baharu yang gemilang”.