
Jika tidak, katanya, masalah mungkin timbul dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya berkaitan cukai jalan dan lesen memandu digital.
“Kajian kebolehlaksanaan perlu dilakukan terlebih dahulu mengenai cara mengatasi masalah yang mungkin berlaku agar rancangan itu tidak menimbulkan masalah kepada masyarakat,” katanya kepada FMT.
Musa menegaskan peraturan dan undang-undang jalan raya bukan sahaja dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tetapi juga pihak berkuasa lain, termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan.
Beliau bertanya bagaimana penguatkuasaan akan dijalankan oleh pihak-pihak berkuasa ini jika mereka tidak mempunyai akses kepada pangkalan data lesen digital JPJ.
“Jika pengguna tidak dikehendaki (mempamerkan dan membawa) cetakan cukai jalan dan lesen memandu mereka, bagaimanakah pihak berkuasa selain JPJ akan menyemak butiran pendaftaran kenderaan dan pemandu?
“Begitu juga apabila kita ingin menyeberang ke Thailand atau Singapura, bagaimana kawalan sempadan di sana akan menyemak dokumen-dokumen ini?” soalnya.
Walaupun beliau menyokong langkah mendigitalkan dokumen-dokumen tersebut, pihak berkuasa lain mesti mempunyai akses kepada pangkalan data JPJ untuk mengelakkan sebarang kesulitan bagi penguatkuasa undang-undang.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan minggu lepas bahawa kenderaan persendirian milik warganegara Malaysia tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan.
Beliau berkata, Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan yang menyatakan bahawa cukai jalan mesti dilekat dan dipamerkan pada kenderaan tidak akan dikuatkuasakan lagi.