
KPM dalam kenyataan memaklumkan ia memberi keutamaan pada melaksanakan projek penggantian kepada blok bangunan sekolah pada skala 6 dan 7, mengikut analisis skor gred impak bagi mengenal pasti bangunan daif.
“Bilangan bangunan daif ini dinamik, selaras penyelesaian pelaksanaan pembangunan semula dan penerimaan untuk mengesyorkan tahap keselamatan bangunan oleh agensi teknikal.
“Projek yang diangkat untuk kelulusan pelaksanaan terdiri daripada senarai sekolah yang mempunyai bangunan daif pada skala 6 dan 7.”
Skala 6 merujuk bangunan tidak selamat, dengan pengesahan dilakukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), manakala skala 7 merujuk bangunan tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR).
KPM berkata, ia komited dalam menyediakan prasarana pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid serta warga sekolah.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata pembangunan sekolah daif di seluruh negara akan dilaksanakan secara berfasa dan fasa paling penting selepas Bajet 2023 dibentangkan pada 24 Feb.
Sementara itu, KPM menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengutamakan isu sekolah daif.
Anwar pada 11 Feb lalu berkata tumpuan kerajaan ketika ini ialah segera menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh negara demi kebajikan anak-anak, selain meningkatkan mutu pendidikan.