2 puak berebut kuasa dalam parti pembangkang Sarawak

2 puak berebut kuasa dalam parti pembangkang Sarawak

Lina Soo mendakwa digulingkan sebagai presiden, tetapi setiausaha agung baharunya berkata, undian dibuat mengikut peraturan.

Setiausaha Agung Aspirasi, Andygie Gines berkata, keahlian Lina Soo ditamatkan selepas perwakilan meluluskan usul untuk membatalkannya.
PETALING JAYA:
Dua puak berebut kuasa dalam Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), dengan satu daripadanya mendakwa berlaku rampasan kuasa.

Borneo Post melaporkan Lina Soo, yang bertegas masih mengetuai parti pembangkang berpangkalan di Sarawak itu, berkata rampasan kuasa berlaku selepas puak pesaing mengisytiharkan presiden, setiausaha agung dan bendahari agung baharunya.

Soo berkata, beliau dihalau daripada mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu semalam, selepas mempersoalkan kesahihannya. Beliau kemudiannya membuat laporan polis.

Tetapi, Setiausaha Agung Aspirasi, Andygie Gines menepis dakwaan itu dengan berkata, keahlian Soo ditamatkan selepas perwakilan meluluskan usul untuk membatalkannya, lapor Dayak Daily.

Beliau menjelaskan satu usul dikemukakan untuk Soo dipecat daripada AGM itu, selepas beliau terus bercakap tanpa pengiktirafan Pengerusi, George Young Si Ricord Jr.

“Beliau mencetuskan gangguan dan huru-hara dalam kalangan perwakilan,” menurut Gines.

Sementara itu, Gines dipetik Borneo Post sebagai berkata, sebelum AGM diadakan, notis 14 hari diberikan kepada setiausaha agung terdahulu untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Soo sebagai presiden parti dan undian diadakan pada AGM pada Ahad lalu.

Beliau menegaskan AGM diadakan mengikut perlembagaan parti dan peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Gines turut mencabar Soo membuktikan kira-kira 100 individu bukan ahli parti hadir “kerana beliau hanya boleh membuktikan identiti kurang 20 daripada ahli.”

Katanya, dakwaan Soo berhubung individu bukan ahli itu tidak benar.

Parti itu tidak menyertai PRU15 pada November lalu, keputusan yang dibuat pada saat akhir sebagai bantahan terhadap pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh dan bimbang perpecahan undi.

Aspirasi sebelum itu mengumumkan ia akan bertanding di kerusi Parlimen Mas Gading, Puncak Borneo, Serian, Bandar Kuching dan Stampin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.