Lihat sendiri ‘kerosakan teruk’ hutan simpan, Adun Selangor diberitahu

Lihat sendiri ‘kerosakan teruk’ hutan simpan, Adun Selangor diberitahu

Parti Hijau Malaysia berkata walaupun Jabatan Perhutanan Selangor mengeluarkan permit 'penggunaan untuk laluan' sahaja, namun di lapangan 'jauh berbeza'.

Pembersihan hutan di Hutan Simpan Taman Negeri cukup membimbangkan, kata aktivis alam sekitar. (Gambar Parti Hijau Malaysia)
PETALING JAYA:
Adun Selangor yang menyokong usul melindungi hutan simpan negeri pada 2020 diminta turun melihat sendiri “kerosakan teruk” berlaku, susulan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Parti Hijau Malaysia (PHM) berkata, pihaknya dimaklumkan Jabatan Perhutanan Selangor hanya mengeluarkan permit ‘penggunaan untuk laluan’ sahaja, namun apa terjadi di lapangan “jauh berbeza”.

Setiausaha Penaja PHM, Abdul Razak Ismail, berkata dua terowong sudah sedia ada dengan kerja kemasan di hadapan terowong, termasuk pemasangan gelong (culvert) telah diletakkan di laluan anak sungai. Kerja-kerja di lain lokasi sedang rancak dijalankan.

“Agak pelik kerajaan negeri meluluskan projek ECRL tersebut pada 14 September, 2022, lima bulan lepas, tetapi terowong itu kelihatannya umpama sudah lama siap,” katanya dalam kenyataan.

Satu daripada dua terowong dibina bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). (Gambar Parti Hijau Malaysia)

Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan PHM ke tapak berkenaan, semalam, bersama beberapa aktivis alam sekitar dan pemberita.

Mereka juga mendapati beberapa kabin pejabat siap didirikan untuk digunakan.

PHM mendesak pendengaran awam diadakan sekiranya Hutan Simpan Taman Negeri diubah status atau penggunaannya.

Parti Hijau Malaysia berkata, mereka mendapati beberapa kabin pejabat siap didirikan untuk digunakan. (Gambar Parti Hijau Malaysia)

Minggu lalu, PHM mendakwa permit diberikan kepada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk menceroboh hutan simpan Selangor bagi projek ECRL, bercanggah dua usul penjagaan hutan simpan diluluskan Dewan Undangan Negeri.

Razak berkata, pemilik projek ECRL Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd mungkin terlepas pandang melibatkan usul berkenaan, iaitu moratorium 25 tahun tanpa pembalakan diluluskan pada 2010 dan usul mempertahankan hutan simpan negeri yang diluluskan sebulat suara, pada Nov 2020.

Beliau mendakwa jajaran baharu landasan tren tersebut memasuki jauh ke dalam Hutan Simpan Hulu Gombak (dalam kawasan hutan Taman Warisan Negeri Selangor) dan Hutan Simpan Serendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.