
Ketua Polis Ampang, Mohamad Farouk Eshak, berkata semua suspek berusia 20 hingga 30 tahun ditahan menerusi empat siri serbuan di kawasan Wangsa Maju dan Pudu.
Beliau berkata, siasatan mendapati dua suspek dipercayai memasuki premis dengan seorang bertindak mengacukan pisau ke arah mangsa yang bekerja di kedai berkenaan untuk membuat penambahan nilai aplikasi Touch n Go serta mengambil wang dalam peti manakala tiga lagi menunggu di luar kedai.
“Suspek juga mengambil beberapa barang yang berada di rak rokok dan rak berdekatan dengan kerugian dianggarkan bernilai RM1,500.
“Semasa serbuan, polis turut merampas kereta Perodua Kelisa, beberapa telefon bimbit, dua pasang gari beserta kunci gari, sebilah pedang bersarung hitam sepanjang 53cm, wang tunai RM300 dan pelbagai barang lain untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Farouk berkata, semua suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu depan dan semakan mendapati mereka mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati semuanya positif dadah.
Menurutnya, dengan penahanan itu, polis berjaya membongkar dua kes samun kedai serbaneka di Kuala Lumpur yang dilakukan suspek dan soal siasat masih dijalankan untuk mengenal pasti kes lain dilakukan mereka.
“Modus operandi mereka adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan kedai serbaneka 24 jam dan hasil kegiatan itu akan dibahagikan antara suspek untuk kegunaan perbelanjaan harian mereka.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api,” katanya.