33 wanita ditahan, sindiket pelacuran didalangi ‘mummy’ Indonesia tumpas

33 wanita ditahan, sindiket pelacuran didalangi ‘mummy’ Indonesia tumpas

Imigresen berkata sindiket itu tumpas susulan penahanan 33 wanita disyaki pelacur yang aktif di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Tiga pusat hiburan dan rumah transit di Selangor serta Kuala Lumpur yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran diserbu imigresen Khamis lalu. (Gambar imigresen)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pelacuran warga asing didalangi seorang wanita yang aktif sekitar Kuala Lumpur dan Selangor selepas menahan 33 wanita dalam operasi Khamis lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya menyerbu tiga premis pusat hiburan dan rumah transit di Selangor dan Kuala Lumpur yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran sebelum menahan semua wanita terbabit.

Katanya, semua wanita berusia 18 hingga 34 tahun terdiri 27 warga Indonesia, dua Vietnam, empat Thailand. Turut ditahan seorang pelanggan lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki tempatan dipercayai penjaga premis.

“Sindiket ini didalangi seorang wanita Indonesia digelar ‘Mummy’ yang berperanan menjaga dan menguruskan wanita warga asing ini menjalankan aktiviti pelacuran di beberapa premis hiburan.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjanjikan pekerjaan kepada wanita warga asing yang diatur kemasukan ke Malaysia bagi dijadikan pekerja seks dan hasil aktiviti haram ini berjaya mengaut keuntungan hampir RM3 juta,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, beberapa wanita yang ditahan didapati masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial, pas penggajian sebagai “spa therapist”, dan ada memiliki dokumen (akuan penerimaan) bagi urusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Menurutnya, semua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Semenyih dan dua suspek tempatan ditahan untuk siasatan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pemerdagangan Orang, Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.