PH tandatangan MOU kerajaan perpaduan bagi pihak Muda, kata setiausaha agung

PH tandatangan MOU kerajaan perpaduan bagi pihak Muda, kata setiausaha agung

Bagaimanapun, Amir Hariri Abd Hadi berkata, PH masih sepatutnya memaklumkan Muda mengenai mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Amir Hariri Abd Hadi berharap komunikasi antara PH dan Muda dapat diperbaiki bagi kebaikan semua pihak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) kerajaan perpaduan bagi pihak Muda disebabkan pakatan pilihan raya dibentuk dua pihak itu sebelum ini, kata Amir Hariri Abd Hadi.

“Perjanjian (MOU kerajaan perpaduan) yang ada sebelum ini kami tak tandatangani, PH tandatangan bagi pihak Muda,” kata setiausaha agung parti itu ketika dihubungi FMT.

“Sebab Muda ada pakatan pilihan raya (bersama PH pada PRU15), dan ia disebut dalam perjanjian.”

Amir berkata, sepatutnya tiada masalah bagi PH untuk memaklumkan kepada Muda mengenai mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau berharap komunikasi antara PH dan Muda dapat diperbaiki bagi kebaikan semua pihak.

Katanya, Muda juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dimainkan walaupun tidak terlibat dalam kerajaan.

“Apa salahnya beri makluman pada semua. Sekurang-kurangnya maklumkan sebarang mesyuarat dan acara yang akan berlangsung dan mungkin penerangan hasil daripada keputusan mesyuarat,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, Muda tidak dijemput ke mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada Selasa kerana ia hanya untuk penandatangan perjanjian gabungan pada Januari.

Beliau berkata, penandatangan perjanjian gabungan termasuk PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Warisan, iaitu pihak yang ditafsirkan sebagai mempunyai tiga Ahli Parlimen atau lebih.

Satu-satunya Ahli Parlimen daripada Muda ialah presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mewakili Muar.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat sekretariat itu untuk pihak yang mempunyai peranan dalam kerajaan iaitu Ahli Parlimen PH, BN, GPS, dan GRS serta sebahagian daripada Jemaah Menteri, manakala Yusof Apdal daripada Warisan adalah timbalan menteri.

Anwar yang juga pengerusi PH berkata, pihak lain seperti Muda akan terlibat dalam jawatankuasa yang dibentuk oleh sekretariat bagi memastikan penyelarasan dasar.

Semalam, Amir meluahkan keluhan berikutan kurangnya komunikasi antara PH dan Muda, susulan parti itu tidak diundang ke mesyuarat sekretariat.

Katanya, Muda hanya mengetahui perkara dibincangkan pada mesyuarat itu selepas ia disiarkan dalam laporan berita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.