Mahkamah tangguh keputusan rayuan saman NFCorp terhadap Public Bank

Mahkamah tangguh keputusan rayuan saman NFCorp terhadap Public Bank

Penangguhan itu dibuat selepas peguam mewakili NFCorp, Pengerusi Eksekutif Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak syarikat serta bank itu mengakhiri hujahan mereka.

Pengerusi Ekesekutif NFCorp, Mohamad Salleh Ismail dan tiga lagi anak syarikatnya memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak saman pada 29 Julai 2019. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan empat lagi berhubung saman sivil mereka terhadap Public Bank Bhd kerana melanggar kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

Panel tiga hakim terdiri Azizah Nawawi, P Ravinthran dan S Nantha Balan menangguhkan keputusan mereka ke satu tarikh selepas peguam mewakili NFCorp, Pengerusi Eksekutif Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak syarikat serta bank itu mengakhiri hujahan mereka.

“Pihak-pihak akan dimaklumkan tarikh (keputusan),” kata Azizah kepada Muhamad Shafee Abdullah yang mewakili NFCorp, Salleh dan anak-anak syarikat serta peguam bank Yoong Sin Min dalam prosiding mahkamah yang berlangsung secara dalam talian.

Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi menolak saman difailkan NFCorp, Salleh dan tiga lagi anak syarikatnya iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd and Real Food Company Sdn Bhd terhadap bank itu.

Mereka kemudian memfailkan satu rayuan ke Mahkamah Rayuan yang didengar hari ini.

Pada Mei 22, 2012, NFCorp, Salleh dan tiga anak syarikat itu memfailkan saman terhadap Public Bank kerana melanggar kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

Mereka mendakwa reputasi dan kebolehpercayaan perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh bank itu.

Dalam prosiding hari ini Muhammad Shafee berhujah bahawa bank itu sepatutnya dipertanggungjawabkan kerana membocorkan maklumat anak guamnya kepada pihak ketiga.

Beliau berkata, siasatan dalaman bank itu mendapati seorang bekas keraninya yang bertugas di jabatan kredit di salah sebuah cawangannya, bersalah kerana mengakses maklumat akaun pelanggannya tanpa kebenaran.

Peguam itu berkata, penyata bank digunakan sebagai satu alat untuk memusnahkan Salleh, sambil menambah kesannya, anak guam beliau menderita berikutan kebocoran maklumat itu dan dipandang sebagai tidak mampu lagi mempertahankan perniagaannya.

Bagaimanapun, Yoong berhujah tidak berlaku pelanggaran kontrak oleh pihak bank kerana tiada bukti bekas kerani bank itu telah menyebarkan maklumat atau menyebabkan maklumat itu disebarkan.

Beliau berkata, dokumen yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli (kini menteri ekonomi) pada masa itu bukannya dokumen yang dicetak oleh bekas keraninya.

Katanya, bank itu meletakkan kerahsiaan perbankan sebagai keutamaan tertinggi dan telah menyediakan sistem dan prosedur untuk memastikan kerahsiaan perbankan dan dalam semua kejadian tindakan telah diambil secara jujur dan serta merta.

Yoong juga berkata, NFCorp, Salleh dan tiga lagi anak syarikat bergantung kepada prosiding siasatan dalaman yang tidak berkaitan langsung dengan mereka, sambil menambah, dapatan daripada sesebuah tribunal swasta tidak mengikat di mahkamah dan mahkamah perlu melakukan pencarian sendiri berdasarkan fakta kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.