Letak tepi masalah, Hanis beri komitmen kepada kelab selepas digantung

Letak tepi masalah, Hanis beri komitmen kepada kelab selepas digantung

Pemain berusia 26 tahun itu menegaskan kekal komited memburu kejuaraan bagi pasukan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Hoki Malaysia.

Semalam, Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara dan Konfederasi Hoki Malaysia menggantung Hanis Nadiah Onn dan tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pemain hoki wanita negara Hanis Nadiah Onn menerima keputusan penggantungan untuk mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini dengan hati terbuka.

Meskipun kecewa dan tidak menjangka perkara itu akan terjadi, pemain berusia 26 tahun itu menegaskan akan kekal komited untuk memburu kejuaraan bagi pasukan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023.

“Sebagai atlet profesional saya akan letak tepi (masalah ini) dan saya akan beri komitmen kepada kelab saya juga, sebab kelab yang jaga saya, saya juga hormati kelab dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

“Sekiranya saya cemerlang di liga dan persatuan memberi ruang kepada saya semula (mewakili negara) saya akan kembali dan saya akan buktikan yang saya masih relevan untuk mewakili negara,” katanya selepas perlawanan Piala Sumbangsih Saingan MHL Wanita 2023 malam tadi.

Hanis yang juga Pemain Harapan Terbaik Asia 2016 pada masa sama turut bertekad tidak mengulangi kesilapan itu selain mengingatkan atlet negara sentiasa berhati-hati ketika membuat sebarang hantaran di media sosial.

Semalam, Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan KHM membuat keputusan Hanis digantung dan tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Keputusan itu dibuat berhubung isu komen Hanis didakwa berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi dan komposer dari India AR Rahman di ibu negara, bulan lalu

Pada perlawanan Piala Sumbangsih MHL Wanita itu Hanis yang mewakili skuad Negeri Sembilan (NSE) berjaya menjulang kejuaraan selepas menundukkan pasukan Uniten Thunder (KPT) 2-1 menerusi penentuan pukulan penalti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.