
Katanya, kapal selam merupakan aset strategik negara yang melonjakkan kemampuan TLDM seiring keperluan strategi pertahanan maritim dalam menangani keadaan serantau dan global, khasnya isu berkaitan Laut China Selatan.
“Melalui Pelan Transformasi TLDM 15 to 5, TLDM merancang memperolehi sebuah lagi kapal selam dalam Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14) 2031-2035, manakala sebuah lagi dalam RMK15 (2036-2040).
“Perancangan jangka panjang pemodenan armada TLDM ini, termasuk perolehan kapal permukaan lain, sesungguhnya akan memantapkan lagi keupayaan TLDM dalam menghadapi dimensi peperangan alaf baru.”
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena lawatan pertamanya ke Sabah, termasuk ke Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar di Kota Kinabalu dan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) Kem Lok Kawi.
Ia bagi meninjau kemudahan kem tentera di pantai barat Sabah, operasi dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta warga kerja Kementerian Pertahanan, selain melawat Jeti Operasi Markas dan Kapal Selam.
Mohamad berkata, TLDM turut menyasarkan perolehan kapal misi pesisir (LMS) kumpulan kedua, dengan perancangannya di bawah RMK12 yang sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan.
“Melalui ketersediaan operasi, TLDM juga akan meningkatkan keupayaan operasi KD Sri Sandakan dan KD Sri Tawau dari segi infrastruktur, aset dan kelengkapan dalam mengatasi ancaman di perairan Laut Sulu dan Sulawesi.”
Beliau berkata, pembangunan Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla4) di Bintulu, Sarawak dalam pertimbangan lanjut kerajaan.
Katanya, markas itu perlu bagi menangani pencerobohan aset negara asing di perairan Sarawak, dengan kakitangan dan kapal bersesuaian akan ditempatkan bagi meningkatkan pengawasan serta keselamatan perairan Laut China Selatan.