Pemain hoki digantung berkait komen rasis konsert AR Rahman

Pemain hoki digantung berkait komen rasis konsert AR Rahman

Hanis Nadiah Onn didapati bersalah kerana membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan Konfederasi Hoki Malaysia.

Pemain hoki wanita Hanis Nadiah Onn digantung dan tidak dibenarkan mewakili negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn, digantung dan tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan ke tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023, susulan komen berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi AR Rahman baru-baru ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan berkata, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan menilai semula keputusan itu jika Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut.

“Jawatankuasa berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran atau ciapan di semua platform media sosial,” kata KBS.

Sebelum ini tular di media mengenai satu akaun Instagram dipercayai milik Hanis yang didakwa meninggalkan komen berbaur perkauman pada ruangan hantaran sebuah laman berita, berkaitan konsert komposer legenda dari India, AR Rahman.

Jawatankuasa siasatan dipengerusikan bersama oleh Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail, dan Presiden KHM, Subahan Kamal, memanggil Hanis untuk sesi temu bual bagi membantu siasatan isu berkenaan.

Menurut jawatankuasa itu, Hanis mengakui memuat naik ciapan komen “bau best la kat dalam tu” berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert berkenaan.

Bagaimanapun Hanis menegaskan dia tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman, sebaliknya hanya berjenaka tentang keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton.

Hanis hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman selepas ditegur warganet menyebabkan dia memadam komen pada pagi 29 Jan dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi media sosialnya.

“Sehubungan itu, jawatankuasa mendapati Hanis bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk, atau mencaci sesuatu pihak lain.

“Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran atau kemarahan sesuatu pihak lain.

“Sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.