
Pengerusinya, Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir, berkata pihaknya sekali lagi membuat laporan polis, selepas beberapa laporan dibuat terhadap pemilik media sosial terbabit sebelum ini.
Beliau berharap polis akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menimbulkan persepsi negatif serta kegusaran awam.
“Pada 2023, dakwaan sama diulang siar pihak tidak bertanggungjawab bagi memenuhi kepentingan peribadi,” katanya menurut Harian Metro.
“Sebarang hal berkaitan salah laku, Mains serahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan dan Mains memberi kerjasama sepenuhnya serta tidak berkompromi terhadap perkara berkaitan salah laku.”
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis sedang menyiasat dakwaan rasuah membabitkan jutaan ringgit zakat yang dikutip Mains.
SPRM dilaporkan sudah menerima maklumat berhubung dakwaan itu, tetapi tiada tangkapan setakat ini.
Hari ini, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dilaporkan berkata, siasatan berhubung dakwaan penyelewengan zakat membabitkan Mains tidak menemui sebarang unsur kesalahan rasuah bawah Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, kertas siasatan dibuka pada 2019 dan siasatan selesai pada tahun sama.
Aziz berkata, sebagai agensi badan berkanun yang dinaungi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Mains sentiasa memastikan pengurusannya mematuhi konsep ketelusan, akauntabiliti serta berintegriti tinggi dalam semua aspek tatakelolanya.
“Mains juga menafikan sebarang tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mengenai pembabitan beliau dalam isu berkaitan.
“Malah, kerajaan negeri sentiasa berganding bahu dengan Mains bagi memastikan semua perkara menyentuh masyarakat Islam di negeri ini sentiasa terbela dan disantuni sebaik-baiknya.”
Beliau menasihatkan masyarakat sentiasa tabayyun (menyemak asas kebenarannya) sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara tidak baik berlaku berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian.