UiTM Holdings rugi RM157 juta, KPT alu-alukan siasat dakwaan ketirisan

UiTM Holdings rugi RM157 juta, KPT alu-alukan siasat dakwaan ketirisan

Menteri Pendidikan Tinggi, Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang pelanggaran garis panduan ditetapkan.

KPT akan membuat semakan dan penambahbaikan terhadap garis panduan ditetapkan berhubung pengurusan syarikat pegangan universiti, kata Mohamed Khaled Nordin. (Gambar uitmholdings.com)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan siasatan dijalankan berkenaan dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan berhubung kerugian RM157 juta oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Holdings yang dilaporkan media tempatan, semalam.

Memetik laporan berhubung dakwaan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Mohamed Khaled Nordin, berkata penekanan khusus diberikan oleh KPT dalam perkara yang melibatkan nilai-nilai integriti dan tata kelola dalam tadbir urus universiti.

Katanya, kementerian tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang pelanggaran dan ketidakpatuhan terhadap garis panduan dan undang-undang, sekali gus menyeru pihak berkenaan memberikan kerjasama sewajarnya.

“Selain daripada siasatan yang dijalankan, KPT akan membuat semakan dan penambahbaikan terhadap garis panduan yang telah ditetapkan berkenaan pengurusan syarikat pegangan universiti serta mengukur kepatuhan oleh syarikat-syarikat yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohamed Khaled Nordin.

Terdahulu, laporan “UiTM Holdings rugi RM157 juta” yang disiarkan media tempatan mendakwa jumlah itu adalah berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi tahun 2017, 2018, 2019 dan 2021.

Manakala, keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi tahun 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta.

UiTM Holdings Sdn Bhd merupakan syarikat pegangan pelaburan milik penuh UiTM yang menguruskan lapan buah syarikat berkaitan tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi, dan kreatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.