
Sidang tiga hakim diketuai Azizah Nawawi menolak rayuan G Angela Dewi dan berkata, tiada kesalahan boleh dirayu yang memerlukan campur tangan.
“Terdapat penemuan fakta yang selari bahawa plaintif (Angela) gagal membuktikan kesnya terhadap defendan,” kata Azizah dalam penghakiman diakhir prosiding yang dijalankan secara dalam talian.
Sidang hakim yang turut dianggotai M Nantha Balan dan Nazlan Ghazali juga mengekalkan perintah mengarahkan Angela mengembalikan semula wang kira-kira RM750,000 kepada Malaysian Motor Insurance Pool, syarikat insurans bagi kereta milik adik ipar Angela, R Subramaniam.
Dalam saman yang difailkan pada 2016, Angela mendakwa K Sivarajah merempuhnya dengan kereta itu di sebuah tempat letak kereta di Kajang pada Mei 2013, menyebabkan dia lumpuh dari pinggang ke bawah.
Angela yang mengusahakan perniagaan menjual besi buruk di Kajang, menamakan syarikat insurans, Subramaniam, dan Sivarajah, yang merupakan bekas pekerjanya, sebagai defenden.
Pada 2018, mahkamah sesyen di Bangi mengarahkan defenden membayar ganti rugi kira-kira RM1.5 juta dengan sebahagian wang itu diberikan pada Angela dan bakinya disimpan dalam akaun firma guaman, Messrs G Dorai & Co.
Kerana mengesyaki berlakukan tuntutan palsu, syarikat insurans menjalankan siasatan sendiri yang kemudiannya mendedahkan bahawa Sivarajah tidak memandu kereta itu dan tidak bertanggungjawab dengan kemalangan tersebut.
Peguam, Silva Velu, yang mewakili Sivarajah memberitahu hakim bahawa anak guamnya menarik balik laporan polis yang pertama di mana dia mendakwa memandu kereta itu.
“Sivarajah juga mengaku bersalah dan didenda RM500 kerana membuat laporan palsu,” kata Silva.
Katanya, pada 9 Okt 2019, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan mengarahkan perbicaraan semula kes itu.
Firma guaman mengembalikan semula sebahagian wang pampasan kepada syarikat insurans tetapi Angela gagal berbuat demikian.
Saman Angela ditolak selepas perbicaraan kedua di Mahkamah Sesyen pada 30 Sept 2020. Mahkamah juga membenarkan syarikat insurans membuat saman balas untuk menuntut wang RM750,000 yang dibayar kepada wanita itu.
Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Tinggi pada 16 Mac 2021.
Di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam, M Manoharan, yang mewakili Angela berhujah hakim Mahkamah Sesyen gagal memberikan secara terperinci asas untuk menolak saman itu.
Bagaimanapun, Silva memetik keterangan pakar, Dr Dhillon, ketika perbicaraan yang berkata kecederaan Angela adalah keadaan sedia ada dan bukan berpunca daripada kemalangan itu.
“Kecederaan ini berpunca daripada perubahan kemerosotan pada tulang belakang Angela,” kata Silva memetik keterangan Dr Dhillon.
Katanya, seorang lagi doktor ketika pemeriksaan silang mengakui menukar nota klinikalnya.
“Doktor pertama menyatakan sebatang rod menghempap leher Angela.
“Beliau kemudiannya membatalkannya dan menukar kepada ia berpunca daripada kemalangan kenderaan bermotor,” kata Silva, yang menambah mahkamah membuat keputusan yang betul apabila merumuskan doktor itu memutarbelitkan kebenaran.
Peguam, J S Naicker, yang mewakili syarikat insurans berkata doktor yang mengubah nota klinikal itu gagal memberi penjelasan meyakinkan berhubung tindakannya itu.
Selepas penghakiman dibacakan, Naicker meminta panel hakim memberikan asas bertulis untuk panduan mahkamah bawahan dan peguam.
Sementara itu, perbicaraan Angela yang dituduh secara bersama adiknya, Vijaya kerana membunuh suaminya yang buta, R Devarajoo dua tahun lalu, akan bermula 27 Feb ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Jenayah itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Baru Sungai Chua di Kajang pada 1 Okt 2020.