Pembantu perjelas pandangan Rafizi mengenai kawalan inflasi, kos sara hidup

Pembantu perjelas pandangan Rafizi mengenai kawalan inflasi, kos sara hidup

Setiausaha akhbarnya berkata Rafizi Ramli merujuk kepada ketidakanjalan negara dalam bekalan dan permintaan, bukan menggesa rakyat boikot membeli ayam.

Kos sara hidup bukan saja mengenai harga murah tetapi berpatutan untuk pengeluar, peniaga dan pengguna, menurut setiausaha akhbar Rafizi Ramli.
PETALING JAYA:
Seorang pembantu kepada Rafizi Ramli menjelaskan pandangan menteri ekonomi itu berhubung langkah mengawal inflasi dan kos sara hidup, selepas beliau dikritik dalam sepucuk surat diterbitkan FMT.

Rafizi menerima kritikan daripada segelintir pihak kerana menasihati pengguna supaya mengelak daripada membeli barangan dijual dengan harga tidak munasabah bagi mengekang inflasi.

Setiausaha akhbarnya, Farhan Iqbal, berkata Rafizi sebenarnya merujuk kepada ketidakanjalan dalam bekalan dan permintaan, bukannya menggesa orang ramai boikot membeli ayam.

“Ayam dijadikan contoh apabila Rafizi menyatakan, jika harga terus naik, kemerosotan permintaan sepatutnya dapat mendorong harga turun.

“Sisi permintaan adalah penyelesaian jangka pendek. Pengguna mesti boleh membuat keputusan pembelian dengan termaklum,” katanya di Twitter.

Farhan menegaskan Rafizi bukan menggesa orang ramai boikot membeli ayam, sebaliknya mendorong pengguna mencari alternatif lebih murah.

Pembaca FMT, Chester Tan, menyindir Rafizi kerana meminta orang ramai mengelak daripada membeli ayam dan mengatakan bahawa makanan dan minuman di restoran serta hotel menyumbang kepada kadar inflasi.

Tan berkata, kenaikan harga makanan dan minuman disebabkan kos bahan mentah yang meningkat.

Beliau juga membidas Rafizi kerana meminta pengguna menyemak harga barangan dengan maklumat diterbitkan di OpenDOSM.

Bagaimanapun, menurut Farhan, “data” menunjukkan makanan di restoran dan hotel menyumbang kepada inflasi.

“Kenaikan harga makanan dan minuman, terutama di restoran dan hotel menjadi penyumbang utama kepada kadar inflasi.

“Kategori harga di restoran dan hotel satu-satunya kategori harga yang masih belum reda. Terdapat peningkatan sebanyak 7.4% pada Disember 2022 berbanding 7% pada bulan sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata Rafizi sedar tentang faktor penyumbang lain dan menteri itu sedang berusaha untuk menyelesaikannya, pertama sekali dengan bertemu pengusaha restoran dan peniaga makanan.

Farhan berkata OpenDOSM ialah platform data yang bertujuan untuk membantu pengguna membuat pilihan lebih baik, dengan data mudah diakses melalui telefon bimbit.

Beliau berkata, kementerian sedang perhalus langkah jangka panjang untuk memastikan bekalan makanan memenuhi permintaan dan untuk terus mengawal kenaikan harga.

“Mengawal inflasi dan kos sara hidup yang tinggi memerlukan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam rantaian nilai termasuk kerajaan, peniaga dan rakyat.

“Kos sara hidup bukan sahaja mengenai harga murah tetapi harga berpatutan untuk pengeluar, peniaga dan pengguna,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.