Peguam negara gagal halang usaha cabar program vaksinasi

Peguam negara gagal halang usaha cabar program vaksinasi

Mahkamah Rayuan berkata Mahkamah Tinggi betul apabila memutuskan merit kes itu perlu didengar.

Mahkamah Rayuan membenarkan sekumpulan kakitangan universiti dan lima guru mencabar arahan kerajaan supaya mereka divaksin.
PUTRAJAYA:
Peguam negara gagal dalam rayuannya untuk menghalang sekumpulan kakitangan akademik dan pentadbiran Universiti Malaya (UM) serta lima guru mencabar program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Vazeer Alam Mydin Meera berkata, Mahkamah Tinggi betul apabila memberi izin supaya merit kes itu didengar. Turut bersidang, Hakim Mariana Yahya dan Zaini Mazlan.

Hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu pada 26 Mei tahun lalu.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan keputusan berkenaan kepada FMT.

“Mahkamah mahu mendengar merit aduan dikemukakan pemohon kerana isu ini bukanlah sesuatu yang sekadar bersifat akademik,” katanya.

Dua kumpulan itu memfailkan izin memohon semakan bagi membatalkan arahan kerajaan melaksanakan program vaksinasi berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2021, berdasarkan pekeliling yang dihantar kepada mereka.

Sembilan belas pemohon dari UM itu menamakan pendaftar universiti; Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Pengarahnya Khairul Adib Abd Rahman, kementerian kesihatan dan kerajaan sebagai responden.

Permohonan sama turut difailkan lima guru terbabit, yang menamakan kementerian kesihatan dan pendidikan serta menteri masing-masing sebagai responden, selain Khairul dan kerajaan persekutuan.

Dalam permohonan dan afidavit yang dilihat FMT, pemohon berkata, sebagai penjawat awam mereka mempunyai kebebasan untuk memilih sama ada mahu menyertai program berkenaan atau tidak.

Mereka berkata, tindakan kerajaan memaksa mereka mengambil vaksin melanggar hak asasi mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.