Tindakan diambil atasi kesesakan jabatan kecemasan, kata Zaliha

Tindakan diambil atasi kesesakan jabatan kecemasan, kata Zaliha

Menteri kesihatan berkata, perbincangan dalaman sedang diadakan berkaitan jumlah kakitangan dan lebih banyak katil disediakan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengakui petugas barisan harapan ‘bergelut’ kerana pesakit yang sepatutnya dipindahkan ke wad ‘tersekat di jabatan kecemasan’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah kesesakan di jabatan kecemasan hospital kerajaan, kata Menterinya, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, pegawainya meninjau jabatan kecemasan yang sibuk di sebuah hospital besar minggu lalu dan mendapati petugas barisan hadapan “bergelut” kerana pesakit yang sepatutnya dipindahkan ke wad “tersekat di jabatan kecemasan”.

Beliau yang mengakui skala masalah itu, ditambah keletihan dari segi fizikal dan mental yang dihadapi petugas serta pesakit, berkata perbincangan dalaman sedang diadakan berkaitan jumlah kakitangan dan lebih banyak katil disediakan.

Hospital juga berusaha “memperkasakan kepimpinan di lapangan”.

“Banyak isu yang diwarisi dan sistemik, tetapi ada yang boleh ditangani di peringkat tempatan dengan libat urus mencukupi,” katanya dalam kenyataan.

“Ramai petugas barisan hadapan bekerja melebihi tugas mereka ketika pandemik Covid-19, dan terus berbuat demikian ketika kita berdepan tsunami penyakit tidak berjangkit (NCD) selepas pandemik.

“Kami akan terus mendengar dan berusaha mencari penyelesaian, secara dalaman serta menyokong petugas barisan hadapan kami dalam perbincangan berterusan dengan Kementerian Kewangan.”

Disember lalu, Zaliha dilaporkan berkata, KKM mula merangka pelan untuk menyelesaikan masalah kesesakan di jabatan kecemasan.

Katanya, KKM sedang mengkaji data terbaharu dan menjalankan audit serta kajian berkaitan beban tugas dan kesesakan di jabatan kecemasan seluruh negara, terutama di hospital pakar, bagi mengenal pasti masalah itu.

Zaliha berkata, masalah kesesakan turut dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018, yang mengenal pasti punca menyumbang kepada kesesakan, termasuk peruntukan tidak mencukupi, kekurangan petugas kesihatan dan kemudahan untuk memenuhi keperluan pesakit.

Katanya, isu itu bukan saja dihadapi jabatan kecemasan, tetapi juga klinik pesakit luar, wad pesakit dan klinik kesihatan.

Beliau berkata, masalah itu bukan hanya berlaku di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.