
Menteri Nga Kor Ming berkata projek berkeluasan 42,000 kaki persegi yang melibatkan pembinaan lima komponen utama itu akan bermula tahun ini dan dijangka siap 2026.
“KPKT komited untuk membantu Pulau Pinang bagi membangunkan semula Pasar Awam Bukit Mertajam ini yang pernah terlibat dalam kebakaran hampir 10 tahun dahulu dan sejak itu ia tidak dibina semula, oleh kerana usaha bertungkus lumus Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim untuk projek ini dan kami sukacita bersetuju,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melawat pasar itu bersama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan serta Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo.
Pasar itu yang dibina sekitar 1960-an terbakar pada 4 Jan 2014.
Nga berkata kerajaan negeri dan MBSP akan bekerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia bagi menganjurkan pertandingan reka bentuk bangunan pasar awam itu.
Katanya, Pasar Awam Bukit Mertajam bakal melakar lembaran baharu kerana ia berpotensi sebagai destinasi pelancongan di Bukit Mertajam.
“Saya dah kaji kawasan radius ini memang ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan terkini untuk Bukit Mertajam malah ia bukan sahaja seperti pasar biasa tapi macam Pasar Seni Kuala Lumpur yang ada pusat warisan dan galeri yang boleh jual barang-barang kreatif,” katanya.
Nga berkata tapak jualan di situ juga akan lebih luas, selesa, dan moden.
Ketika ini terdapat 380 peniaga di pasar itu dan mereka akan diberi keutamaan untuk terus berniaga di situ setelah projek selesai.