Pembukaan tanah untuk ECRL tak libat nyahwarta hutan

Pembukaan tanah untuk ECRL tak libat nyahwarta hutan

MRL berkata pihaknya hanya memperoleh kebenaran daripada Jabatan Perhutanan untuk permit izin lalu bagi memudahkan kerja awal pembinaan ECRL.

Pada Jumaat Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mendedahkan pembersihan hutan di Taman Negeri Selangor dilakukan oleh syarikat projek ECRL. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjelaskan pembukaan tanah di Selangor tidak melibatkan penyahwartaan hutan simpan termasuk kawasan di Taman Negeri Selangor.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata pihaknya hanya memperoleh kebenaran daripada Jabatan Perhutanan untuk permit izin lalu bagi memudahkan kerja awal pembinaan ECRL.

“Kerja-kerja pembinaan ECRL untuk Seksyen C2 ECRL (Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang) yang secara keseluruhannya terletak di Selangor, dijalankan dengan teliti bawah rundingan bersama komuniti tempatan dan pihak berkepentingan yang berkenaan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan,” kata syarikat itu.

Pada Jumaat, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mendedahkan pembersihan hutan di Taman Negeri Selangor dilakukan oleh syarikat projek ECRL.

Beliau dilaporkan berkata, syarikat China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), kontraktor utama projek berkenaan memperoleh permit pembersihan hutan namun telah memulakan kerja pembinaan tanpa kebenaran.

MRL berkata, kelulusan Skim Kereta Api ECRL bagi Seksyen C2 diberikan oleh Kementerian Pengangkutan kepada syarikat itu pada 14 Jan 2022 selepas pemeriksaan awam selama tiga bulan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Sebelum itu, penilaian impak alam sekitar (EIA) diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar pada 30 Nov 2021 dan mendapat kelulusan pada 20 Dis 2021.

“Pada 14 Sept 2022, kami telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Selangor untuk meneruskan pembinaan projek ECRL bagi jajaran rel Seksyen C2 di Selangor,” katanya.

MRL berkata, pihaknya proaktif mengadakan mesyuarat dan sesi libat urus dengan pihak berkuasa Selangor termasuk penduduk tinggal berhampiran tapak kerja ECRL.

“Ini bagi memastikan suara pihak yang terjejas dan pendapat orang awam dipertimbangkan sepenuhnya bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan impak sosial.”

Pada Rabu, NGO alam sekitar Rimba Disclosure Project (RDP) memaklumkan berlaku “kerja-kerja pembersihan hutan” di sekurang-kurangnya empat lokasi dalam kawasan Taman Negeri Selangor.

Penemuan itu berdasarkan paparan imej satelit di Hutan Simpan Serendah dan Hutan Simpan Hulu Gombak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.