Muat naik video provokasi polis, lelaki ditahan

Muat naik video provokasi polis, lelaki ditahan

Lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai tidak berpuas hati selepas dikenakan empat saman oleh anggota polis trafik.

Seorang lelaki ditahan kerana memuat naik video di TikTok berunsur provokasi dan fitnah terhadap polis trafik sehingga mendatangkan tanggapan buruk masyarakat. (Gambar Reuters)
KANGAR:
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes memuat naik video berunsur fitnah terhadap anggota polis trafik menerusi TikTok.

Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata penarik baja berusia 39 tahun itu ditahan pada Sabtu lalu dan direman hingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Lelaki itu ditahan di rumahnya di Jitra, Kedah dan hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, klip video berdurasi 35 saat atas pemilik akaun @manbajanaw9438 itu memaparkan tiga anggota trafik sedang melakukan pemeriksaan rutin di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran lampu isyarat Simpang Ampat, Perlis.

Katanya, anggota trafik tersebut membuat pemeriksaan dan mengeluarkan empat saman ke atas lori lelaki itu, manakala punca kejadian dipercayai lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan saman dikeluarkan.

“Video yang dimuat naik oleh lelaki itu adalah berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat terhadap polis kerana terdapat beberapa komen negatif orang ramai berkenaan video tersebut yang boleh menjatuhkan maruah serta imej anggota polis trafik dalam video itu,” katanya.

Yusharifuddin menasihatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi boleh mendatangkan kebencian terhadap pihak berkuasa, khususnya melalui media sosial.

Beliau berkata, tindakan itu boleh menyebabkan tersebarnya kenyataan tidak berasas sehingga boleh menghakis keharmonian antara masyarakat dan agensi penguat kuasa.

Katanya, pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan diambil penguatkuasa khususnya pasukan polis, boleh mengemukakan aduan dengan menggunakan saluran betul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.