
Gabungan tersebut, CSO Platform for Reform, berkata kurangnya pelaksanaan reformasi oleh kerajaan terdahulu menjejaskan ketelusan, kebertanggungjawaban, dan tatakelola.
Laporan oleh jawatankuasa yang dibentuk pentadbiran Pakatan Harapan itu mengandungi syor-syor membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), salah laku polis, hukuman mati, dan isu lain.
“Dengan mendapat akses kepada laporan IRC itu, orang awam akan maklum apabila mendesak reformasi dilaksanakan,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.
“Rakyat berhak mendapat kerajaan yang telus, bertanggungjawab, dan responsif.”
CSO Platform for Reform juga berkata ia ada bertemu Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul baru-baru ini yang menyokong pelbagai syor yang dikemukakan pihaknya.
Syor itu termasuk pemencaran kuasa melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, dan mengukuhkan kebertanggungjawaban menerusi pembentukan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas yang terbuka dan pelbagai parti, dan Akta Perkhidmatan Parlimen.
Bulan lalu, bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, menyeru laporan IRC diterbitkan, kerana bimbang reformasi yang perlu disegerakan akan tergendala sekiranya berlaku Langkah Sheraton sekali lagi.
Beliau merujuk kepada peristiwa yang membawa kepada tumbangnya pentadbiran PH pada 2020.