
Pengarah Komunikasi Wanita Barisan Nasional yang juga exco Wanita Umno, Rosni Zahari berkata setiap pemimpin sayap itu mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak adil membandingkan Noraini dengan kepimpinan terdahulu.
“Noraini diangkat menjadi ketua Wanita Umno di masa Umno sangat lemah, tiada kuasa dan tiada wang ringgit, apatah lagi harta. Jadi, tidak adil kepada beliau jika ada sesiapa nak samakan beliau dengan kepimpinan yang terdahulu.
“Dalam pada sukar pun, (beliau) cuba buat yang terbaik dalam mengarusperdanakan Wanita (Umno) semampu mungkin,” katanya dalam kenyataan.
Rosni berkata, rata-rata akar umbi Wanita Umno gusar mengenai keharmonian, kedamaian dan setia kawan dalam parti, mereka mahukan kestabilan dalam membina kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap asas perjuangan parti.
Bagaimanapun, katanya, Wanita Umno perlu muhasabah diri dan merenung jauh tentang hala tujunya.
“Ke mana kita hendak bawa Wanita Umno? Adakah kita hendak bergerak ke hadapan atau mengundur ke belakang? Berfikirlah secara waras, jangan ikut hasutan dan adu domba mereka yang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi.
“Kelak nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”
Semalam, Ketua Wanita Umno Bahagian Kota Melaka, Haryaty Hamdzah dilaporkan mendakwa 147 ketua bahagian sayap itu mahu Shahrizat kembali menerajui Wanita Umno.
Katanya, gesaan itu disuarakan dalam pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini dan sokongan itu berdasarkan banyak kejayaan dicapainya ketika menjadi menteri wanita, keluarga dan masyarakat.