Tiada undang-undang larang rakam serbuan polis, kata bekas KPN

Tiada undang-undang larang rakam serbuan polis, kata bekas KPN

Musa Hassan berkata, polis sepatutnya segera mengeluarkan kenyataan menjelaskan serbuan dan sebab tangkapan.

Bekas KPN Musa Hassan menyarankan polis membuat rakaman sendiri menggunakan kamera badan ketika menjalankan operasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada peruntukan undang-undang melarang orang awam merakam serbuan dilakukan pihak berkuasa termasuk polis, kata bekas ketua polis negara Musa Hassan.

Musa berkata, polis patut segera mengeluarkan kenyataan menjelaskan serbuan dan sebab tangkapan dibuat termasuk terhadap perakam bagi mengelak berita negatif membabitkan pasukan keselamatan itu.

“Tiada undang-undang melarang orang awam mengambil video pihak berkuasa menjalankan tugas. Bila tak ada undang-undang (melarang), buat apa nak tangkap,” katanya kepada FMT.

“Kebebasan asasi manusia mengikut Perkara 5 Perlembagaan tidak boleh kita sekat kerana (perlembagaan) memberikan kebebasan kepada mereka melainkan ada undang-undang menyekatnya.”

Beliau berkata, salah satu cara adalah pihak berkuasa perlu pantas mengeluarkan kenyataan mengenai serbuan dan memberi sebab mengapa rakaman tidak dibenarkan ketika itu bagi mengelak sebarang tohmahan jika ia menjadi tular.

Musa mengulas kenyataan wakil rakyat DAP yang menggesa Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan rasional operasi pihak berkuasa termasuk polis dijalankan secara terang-terangan tetapi tidak boleh dirakam orang awam.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng membangkitkan perkara itu selepas polis didakwa menahan tiga pengunjung pertunjukan muzik dalam serbuan di sebuah kafe dan pusat hiburan di Georgetown, Pulau Pinang kerana merakam pihak berkuasa menjalankan tugas, isu yang menjadi tular di media sosial Ahad lepas.

Dalam perkembangan sama, Musa mencadangkan pihak berkuasa sendiri membuat rakaman ketika serbuan termasuk memakai kamera badan bagi mengelak tuduhan tidak berasas terhadap mereka.

“Sepatutnya pihak berkuasa termasuk polis menggunakan kamera badan semasa serbuan, itu patut dibuat, ambil video semasa bertugas. Sebab itu dulu saya pernah cadang pada kerajaan pasang kamera badan termasuk petugas kereta peronda,” katanya.

Mengulas isu kamera badan bagi anggota polis yang masih tidak dilaksanakan dengan baik, Musa berkata, perkara itu sudah lama dibincangkan sejak beliau menjadi ketua polis negara, namun tidak menjadi kenyataan atas alasan kerajaan kekurangan dana.

Katanya, kerajaan tidak boleh menangguhkan lagi penggunaan kamera badan bagi pasukan keselamatan seperti polis kerana langkah itu dapat menyelesaikan banyak isu berbangkit ketika operasi dijalankan.

“Kekangan utama adalah kerajaan tiada sumber, peruntukan tidak cukup untuk membeli kamera. Kalau untuk semua anggota tak boleh, beli sedikit dulu dan gunakan sepanjang serbuan dijalankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.