
Ibu bayi terbabit, Lidawati Zakaria berkunjung ke rumah Marie hari ini.
“Saya sangat teruja kerana kami merancang bertemu, tetapi ada saja halangannya,” kata Marie yang menangis kegembiraan.
“Anak perempuan saya juga menghantar hadiah untuk bayi ini dari Singapura.”
Marie dan anak perempuannya, Naroshinii Annaselam, dalam perjalanan ke Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves tahun lepas apabila mereka menyedari sepasang suami isteri dalam kegelisahan berada dalam pikap di jalan berhampiran kuil berkenaan.
Setelah diperiksa, dia mendapati Lidawati dalam keadaan separuh sedar dan keletihan ketika proses bersalin, dengan bayinya sudah keluar separuh jalan, manakala suaminya, Ismaidi Ismail, berada di belakang kenderaan tidak dapat berbuat apa-apa.
Marie dan anak perempuannya bertindak mengikut naluri, dengan Naroshinii menanggalkan baju atasan kurtinya untuk membantu kelahiran bayi berkenaan.
Peserta Thaipusam lain turut tampil membantu dengan menggunakan kain untuk menutup tingkap trak Ismaidi bagi melindungi ibu dan anaknya daripada bahang panas serta memberi mereka sedikit privasi.

Hantaran mengenai kelahiran bayi berkenaan kemudian tular di Facebook, dengan pengguna media sosial memuji tindakan penganut Hindu yang mencerminkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.
Lidawati dan Ismaidi gembira dapat bertemu dengan Marie, setahun selepas bayi perempuan mereka, Fathimah dilahirkan.
Lidawati berterima kasih kepada semua individu membantunya melahirkan anak perempuan tunggalnya, yang aktif dan cepat belajar.
Ibu kepada lima anak itu berkata, pengalamannya adalah bukti rakyat Malaysia saling membantu, tanpa mengira perbezaan budaya dan etnik.
“Saya berharap satu hari nanti, Fathimah akan turut menyumbang ke arah perpaduan lebih erat di Malaysia,” katanya.