Panel semak pengajian tinggi mesti tangani ketidakpadanan kemahiran, kata MEF

Panel semak pengajian tinggi mesti tangani ketidakpadanan kemahiran, kata MEF

Ketidakpadanan kemahiran menjadi isu yang berterusan, apabila kepakaran pencari kerja, terutamanya graduan baharu, tidak sepadan dengan keperluan industri.

Graduan bekerja dalam pekerjaan separa mahir atau yang memerlukan kemahiran rendah disebabkan wujudnya jurang antara kemahiran dimiliki dengan keperluan industri, kata MEF. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa untuk membaharui dasar pengajian tinggi mesti menangani isu ketidakpadanan kemahiran yang dihadapi oleh graduan, kata kumpulan majikan terbesar di Malaysia.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mewakili lebih 5,000 organisasi pelbagai saiz dan industri, serta 22 kumpulan industri.

Pertubuhan itu berkata demikian dalam respons terhadap pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin bahawa kerajaan akan mengkaji semula dasar pengajian tinggi negara agar selari dengan realiti semasa.

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata, ketidakpadanan kemahiran menjadi isu yang berterusan, apabila kepakaran pencari kerja, terutamanya graduan baharu, tidak sepadan dengan keperluan industri.

Katanya, keadaan ini menyebabkan graduan bekerja dalam pekerjaan separa mahir atau yang memerlukan kemahiran rendah, membawa kepada situasi penggunaan tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran.

“Graduan juga tidak bersedia untuk belajar daripada asas apabila mereka bekerja,” katanya kepada FMT.

“Pola fikiran ingin menimba ilmu harus ada dalam diri mereka, dan mereka perlu faham bahawa ia memerlukan masa dan akan menambah nilai bagi mereka dalam jangka masa panjang.”

Bagi merapatkan jurang antara keperluan industri dan kemahiran, Syed Hussain berkata, graduan mesti dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan.

“MEF mencadangkan penubuhan perkongsian lebih erat antara majikan dan institusi pengajian tinggi untuk memudahkan latihan amali, perantisan dan lain-lain bentuk pembelajaran berasaskan kerja, yang akan menyediakan pelajar dengan pengalaman praktikal dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Kerajaan juga harus mewujudkan sistem jaminan kualiti dan akreditasi yang mantap bagi memastikan institusi pengajian tinggi menyampaikan pendidikan dan latihan berkualiti,” katanya.

Menurut tinjauan gaji MEF pada 2021, tiga kemahiran utama yang paling kurang dalam kalangan graduan baharu ialah kemahiran analisis (71.1%), kemahiran pengurusan (68.4%) dan kemahiran analisis data (44%).

Dari segi kemahiran insani, graduan baharu tidak mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah (66.3%), kemahiran komunikasi (52.8%) dan kemahiran memimpin (44%).

Presiden Persatuan Pengajian Tinggi Malaysia (Heya) Ooi Tze Howe berkata, tadbir urus, akademik dan autonomi pelajar di institusi pengajian tinggi mesti ditambah baik.

Katanya, pelantikan lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi universiti harus bebas daripada politik dan bersifat telus. Sumber yang mencukupi juga diperlukan untuk menarik ahli akademik terkemuka untuk memberikan syarahan dan menjalankan penyelidikan, tambahnya.

“Pada masa yang sama, wakil kesatuan pelajar harus berada dalam lembaga pengarah universiti supaya pelajar mempunyai suara dalam pembangunan dan pengurusan universiti,” katanya.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, ketidakpadanan kemahiran membawa akibat negatif terhadap produktiviti dan daya saing syarikat, yang menjejaskan keupayaan mereka untuk melaksanakan produk, perkhidmatan atau teknologi baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.