Atasi bakat tak sepadan, kerajaan disaran letak TVET bawah 1 kementerian

Atasi bakat tak sepadan, kerajaan disaran letak TVET bawah 1 kementerian

M Kulasegaran berkata, ia bagi memastikan TVET mendapat tumpuan, penyelarasan dan dasar diperkemaskan.

M Kulasegaran berkata, masalah sekarang ialah pelbagai program TVET di bawah kementerian berbeza yang menawarkan kursus sama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri sumber manusia, M Kulasegaran menyarankan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diletakkan di bawah sebuah kementerian bagi menyelesaikan masalah ketidaksepadanan bakat.

Beliau berkata, ia juga bagi memastikan TVET mendapat tumpuan, penyelarasan dan dasar diperkemaskan.

Katanya, RM6.7 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2023 terdahulu untuk TVET, di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, Pendidikan dan Sumber Manusia, memperlihatkan tiada usaha untuk memperkemas dasar atau menangani ketidakpadanan bakat.

“Apa yang kita ada sekarang ialah pelbagai program TVET di bawah kementerian berbeza yang menawarkan kursus sama dan sukar mengisi kapasiti mereka.

“Kurang penyelarasan membawa kerugian besar dari segi kewangan dan bakat yang dilahirkan tidak diurus dengan baik,” katanya dalam kenyataan.

Naib pengerusi DAP itu berkata, Malaysia memperkenalkan latihan TVET pada 1964, tetapi negara kini ketinggalan.

“Saya bimbang kita mempunyai kurang 28% tenaga kerja mahir terlatih berbanding Singapura yang memiliki 60%.

“Kita memerlukan pelaburan besar untuk memulakan era baharu pembelajaran TVET di Malaysia serta tidak takut belajar daripada Singapura dan Jepun, yang mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi.”

Justeru, beliau mencadangkan selain jawatankuasa Jemaah Menteri seperti yang dibentuk di bawah kerajaan Pakatan Harapan, kerajaan semasa perlu meletakkan TVET di bawah satu bumbung.

Kelmarin, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memperhebatkan kerjasama sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan dalam TVET bagi memenuhi keperluan industri serta menyelesaikan masalah ketidaksepadanan atau latihan tidak diperlukan industri.

Kulasegaran berkata, langkah itu dapat memastikan permintaan industri dari segi pembangunan modal insan dipenuhi, organisasi kekal berdaya saing dan dilengkapi tenaga kerja mahir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.